Penyerang Petaling Jaya City, Khyril Muhymeen Zambri menyifatkan gol pada minit-minit akhir yang berjaya menafikan kemenangan Kedah Darul Aman adalah hasil semangat juang pasukan yang enggan tewas buat kali ketiga.

Dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam, Kedah terpaksa berpuas hati dengan satu mata meskipun telah mendahului tiga gol sebelum Khyril akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-83.

Pemain berusia 35 tahun ini menganggap PJ City berjaya membuktikan jentera serangan mereka masih berbisa untuk menjaringkan gol meskipun hanya menggunakan kudrat pemain tempatan.

Dan selepas dua kekalahan lalu, anak buah P. Maniam ini berusaha keras untuk memastikan mereka tidak lagi tewas dan nyata usaha setiap pemain sehingga ke wisel penamat wajar dipuji.

“Kita sebenarnya agak bergelut apabila terkena dengan gol-gol mudah tetapi saya tetap percaya dengan rakan sepasukan dan saya tidak risau dengan keupayaan pemain.

“Sebab kami di landasan yang betul, cuma kena kurangkan kesilapan individu dan dalam setiap perlawanan di bahagian serangan, kami dapat menjaringkan gol walaupun dibarisi pemain tempatan.

“Semuanya dari semangat pasukan dengan sumbangan mereka daripada separuh masa pertama, sebab saya cuma masuk dalam separuh masa kedua untuk bantu apa yang patut”, kata Khyril Muhymeen.

Penolong jurulatih Kedah Darul Aman, Victor Andrag pula menyifatkan pasukan kali ini tidak mempunyai karakter sebenar di atas padang menyebabkan mereka sukar memperoleh kemenangan.

Selepas dua kali tewas dan seri 3-3 dengan PJ City semalam, Kedah perlu segera mencari solusi terbaik untuk kembali bangkit dalam aksi seterusnya.

“Setiap perlawanan kita buat analisis, tapi benda sama juga berulang kali berlaku lagi. Kami sebagai jurulatih mahu pemain-pemain mempunyai karakter sebenar untuk mereka berusaha sehingga wisel penamat.

“Kita rasa kita bukan beraksi seperti pasukan yang sebenar dalam tiga, empat perlawanan sebelum ini dan kita bermula baik di pra musim.

“Kita perlu dapatkan balik karakter yang sebenar untuk bangkit dan tidak mahu menunding jari kepada sesiapa, pasukan kena hadapinya juga”, katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Derbi Selatan: 15,000 Tiket Perlawanan Negeri Sembilan Menentang JDT Telah Terjual

Prestasi Buruk Kedah Darul Aman Bukan Kerana Masalah Gaji

Peminat Tolak Gonzalo Cabrera Jadi Pemain Naturalisasi