Pemain pertahanan negara, Ahmad Khuzaimi Piee menegaskan tunjuk ajar dan bantuan dari rakan sepasukan yang lebih senior banyak membantu beliau ketika perlawanan persahabatan menentang Filipina pada Rabu lalu.

Khuzaimi menjadi salah satu pemain terbaik negara dimana beliau beraksi dengan cemerlang di benteng pertahanan ketika digandingkan dengan Shahrul Saad dan beliau kini menjadi pemain pujaan peminat bola sepak tanah air.

Menjelang aksi menentang Singapura pada Sabtu, Khuzaimi mahu pemain yang diberikan peluang oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk turun dalam kesebelasan utama memberikan aksi yang terbaik.

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan terima kasih kepada peminat. Komen saya mengenai perlawanan Rabu lalu, komitmen semua pemain yang telah memberikan yang terbaik pada aksi menentang Filipina. Saya pun baru membuat penampilan kedua bersama pasukan negara.

“Tunjuk ajar daripada pemain senior yang telah lama terlibat dalam pasukan negara memainkan peranan untuk diri saya beraksi pada perlawanan Rabu lalu. Sokongan daripada rakan sepasukan juga memberi pengaruh terhadap prestasi saya.

“Jangkaan saya untuk perlawanan menentang Singapura, saya harap sesiapa pun yang diberikan peluang dapat memberikan aksi terbaik mereka sebab kita tahu peminat mahukan yang terbaik untuk skuad kebangsaan,” katanya pada sidang media sebelum perlawanan.

Selepas mencipta gandingan yang mantap bersama Shahrul Saad dan beraksi dengan cemerlang, Khuzaimi Piee digantikan dengan Aidil Zafuan pada separuh masa kedua.

Kim Pan-gon dijangka tidak akan membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utama bagi aksi menentang Singapura kerana pemain yang diturunkan ketika berdepan Filipina menampilkan persembahan yang baik.

Selepas menghadapi Singapura, Malaysia akan turun berdepan kelab S-League, Albirex Nigata Singapore pada 28 Mac sekaligus menjadi perlawanan persahabatan terakhir.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Syafiq Ahmad Sahut Cabaran Dion Cools Untuk Jaringkan Gol Bersama Skuad Kebangsaan

Dion Cools Anggap Skuad Kebangsaan Tampilkan Prestasi Cemerlang

Liridon Dan Sumareh Terima Kritikan Pedas Dari Peminat