Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Ahmad Khuzaimi Piee berkemungkinan besar terlepas baki saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 selepas mengalami kecederaan ketika aksi pembukaan kumpulan B berdepan Myanmar baru-baru ini.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Khuzaimi terpaksa menggunakan Shoulder Crutches selepas mengalami kecederaan bahu pada lewat separuh masa pertama.

Ini merupakan satu berita yang kurang baik pasukan negara memandangkan Khuzaimi Piee merupakan salah seorang pemain pertahanan terbaik negara dan sentiasa diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih pasukan, Kim Pan-gon.

Sekiranya pemain baharu Selangor itu tidak dapat diturunkan pada perlawanan selepas ini, maka pasukan negara hanya mempunyai Sharul Nazeem dan Dominic Tan sebagai pemain pertahanan tengah dan Pan-gon terpaksa menggunakan pemain lain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Thuwunna, Faisal Halim menceriakan kem Malaysia selepas berjaya menjaringkan gol tunggal pasukan negara pada minit ke-52 apabila beliau menyudahkan peluang terhidang ketika berhadapan dengan penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Phyo selepas menerima lorongan cantik daripada Safawi Rasid untuk meletakkan Malaysia dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Myanmar menggandakan usaha dimana mereka tampil dengan lebih garang untuk kembali mengikat permainan dimana situasi pada minit ke-94 menjadi peluang keemasan buat mereka.

Bagaimanapun, penjaga gol negara, Ahmad Syihan tampil cemerlang menafikan sepakan penalti yang diambil Win Naing Tun ekoran kekasaran Sharul Nazeem dalam kawasan penalti.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad negara. Kemenangan yang meningkatkan moral para pemain menjelang aksi kedua bertemu Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.