Legenda Chelsea, John Terry disahkan bakal kembali ke Cobham [Pusat Latihan Chelsea] yang ditinggalkannya pada 2017 itu selepas dilantik sebagai konsultan kejurulatihan di akademi kelab tersebut.

Menurut sumber laman sesawang rasmi Chelsea, Terry yang memenangi 17 kejuaraan bersama The Blues termasuklah lima kali muncul juara Liga Perdana Inggeris  akan memulakan tugasannya pada Januari 2022.

Selain daripada memberikan bimbingan kepada pemain-pemain muda di dalam padang serta bertindak selaku mentor kepada mereka, Terry juga turut akan menyumbang idea dalam perbincangan bersama barisan kejurulatihan akademi dan menghadiri sesi dialog bersama ibu bapa.

Tugasan secara sambilan itu juga disifatkan oleh Chelsea sebagai situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak kerana Terry juga dapat terus mengembangkan kemahiran kejurulatihannya.

Dalam pada itu, pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 tersebut pula bakal mendapat manfaat berikutan pengalaman luas dimiliki Terry ketika bergelar pemain untuk dicurahkan kepada program pembangunan kelab.

Malah, bapa kepada sepasang anak kembar itu juga merupakan lulusan daripada Akademi Chelsea yang disertainya sejak berusia 15 tahun dan membuat penampilan sulung bersama skuad senior berselang tiga tahun kemudian.

“Dia merupakan seorang mentor yang hebat buat para pemain kami dan aset berharga buat barisan kejurulatihan. Kami tidak sabar untuk melihat dia memulakan tugasannya,” ujar Ketua Pembangunan Remaja Chelsea, Neil Bath.

Selepas meninggalkan Chelsea pada musim 2016/17, John Terry sempat beraksi selama semusim bersama Aston Villa dalam saingan EFL Championship dan setahun kemudiannya dilantik sebagai pembantu kepada pengurus kelab tersebut, Dean Smith.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia di sini:

Nazrin Nawi Bakal Perkuatkan Pasukan Liga M3, Respect FC?

Piala AFF 2020: Kelebihan Selesa Buat Thailand, Mudah ‘Ratah’ Indonesia

Pemilik Baharu Sahkan Tunggakan Gaji Perak FC Akan Diselesaikan Dengan Dua Kali Bayaran

 

Sumber