Bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Jamlus menafikan tuduhan yang mengatakan beliau mengkritik taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon sewaktu perlawanan separuh akhir pertama menentang Thailand dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu.

Salah sebuah portal menulis berita dengan tajuk yang mengatakan Khalid berang dengan taktikal yang digunakan oleh Pan-gon dan perkara ini segera dinafikan oleh bekas penyerang Perak dan Selangor itu dengan mengatakan beliau hanya memberikan pendapat dan tidak akan sesekali mempersoalkan kewibawaan Pan-gon sebagai ketua jurulatih.

“Media makan bola ke makan orang. Celah mana aku berang, aku hanya bagi pendapat. Takkan aku nak mempertikaikan kewibawaan seorang jurulatih pasukan negara. Tajuk patutnya tulis Khalid memuji sikap pemain yang berjuang bermati-matian. Saya sekadar berkongsi pendapat bukan mengkritik dia,” kata Khalid Jamlus dipetik dari Facebook miliknya.

Sebelum ini, Khalid memberikan pendapat dimana pasukan negara perlu menukar formasi agar memastikan Thailand tidak dapat mengawal permainan dimana beliau memberi tips agar pemain negara menghentikan pemain lawan agar bermain di bahagian tengah kerana ada pemain seperti Theerathon Bunmathan.

Thailand jelas menguasai permainan pada aksi Sabtu lalu dan mereka beberapa kali hampir untuk menjaringkan gol namun dikecewakan oleh barisan serangan yang tumpul.

“Kalau tak tukar formasi, mau jahanam pasukan kita. Apabila mereka banyak kawal permainan, tapi kita pula main macam tahun 90an di mana sepak ke atas. Supports tak ada, kita tidak mengawal pihak lawan dimana mereka sentiasa merancang dan setiap hantaran akan sampai. Terlalu banyak hantaran ke dalam kotak penalti. Ini sangat bahaya. Perlu hentikan hantaran macam tu. Saya harap pemanin boleh hentikan mereka dari bermain di middile third. Apa-apa pun tabik kepada pemain kerana bermain dengan semangat juang tinggi,” kata Khalid.

Pasukan negara membawa bekalan satu gol ke Stadium Thammasat hasil daripada jaringan tunggal pemain sayap, Faisal Halim pada minit ke-10 ketika aksi di Bukit Jalil.