Beberapa hari lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bawah 20 tahun yang dikenali sebagai skuad projek FAM-MSN.

Bekas jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad FAM-MSN ini dan semua pemain yang terpilih akan menjalani latihan di MSN selain diberikan elaun, penginapan, makanan, sokongan perubatan serta peluang melanjutkan pengajian di universiti.

Penubuhan skuad itu juga mengundang pelbagai reaksi negatif dalam kalangan peminat bola sepak tempatan termasuk bekas pemain kebangsaan pada era 70-an, Khalid Ali.

Menurut laporan daripada Bernama, Khalid mempersoalkan konsep skuad tersebut dan menyifatkan ia dikendalikan oleh individu yang tidak layak serta tidak mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan bola sepak.

“Soal pembangunan bakat ini, FAM perlu kumpulkan orang yang berkemampuan membentuk sebuah pentadbiran yang baik dan cekap. Bila bercakap pasal pembangunan juga perlu ada seorang yang pakar dalam bahagian teknikal dalam program itu.

“Saya minta maaf, FAM nak buat program pembangunan tetapi mereka lantik individu yang belum terbukti, pada saya beliau (Yusri Che Lah) tidak layak (sebagai ketua jurulatih) sebab berdasarkan rekod di kelab pun gagal tetapi masih dipilih, jadi ke mana hala tuju skuad projek ini?,” katanya kepada Bernama.

khalid ali
FOTO: FAM

Malah, Khalid juga senada dengan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim yang sebelum ini mengkritik penubuhan skuad projek itu sebagai langkah yang tidak masuk akal serta boleh membunuh karier pemain.

Menurut beliau, bukan semua pemain-pemain muda mampu berada ditahap yang baik ketika ini dimana mereka memerlukan platform yang sesuai dengan perkembangan permainan.

“FAM nak kembangkan potensi pasukan ini tetapi letak dalam Liga Premier, ia satu kejohanan. Adakah langkah itu tepat? Ia seperti membunuh karier mereka. Saya seorang bekas pemain, pengalaman saya apabila bersaing dengan pemain lebih berpengalaman saya jadi gementar…30 peratus tahap keyakinan saya turun.

“Dalam proses membentuk bakat muda terbaik, pemain kena melalui fasa serta tahap tertentu dan kena ingat tidak semua pemain mampu terus melompat ke tahap lebih tinggi. Tapi dalam isu ini, pemain di tahap satu (misalnya) terus lompat ke tahap ke-10 apabila beraksi dalam Liga Premier,” jelas beliau.

Beliau turut mencadangkan agar pemain import diharamkan bermain dalam saingan Liga Premier untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan yang berkualiti.

“Jika kita masih memberi peluang kepada pemain import bermain dalam Liga Premier, kita memang sukar nak mencari pemain berbakat terutama di posisi penyerang dan pertahanan. Selain itu, FAM juga boleh mempertimbangkan cadangan memperbanyakkan liga bertaraf profesional,” katanya.

Baca artikel lain mengenai penubuhan skuad projek FAM-MSN melalui pautan dibawah.

LTK: “Pemain Perlukan Masa Dan Bermain Dalam Liga Yang Sesuai, Bukan Liga Premier. Ini Membunuh!”

Skuad Projek FAM-MSN Tidak Akan Beraksi Dalam Piala FA Dan Piala Malaysia