Bekas pemain negara, Khalid Ali memuji tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membawa masuk pemain naturalisasi yang berkualiti bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan untuk beraksi di peringkat tertinggi.

Menurut kenyataannya dalam Sinar Harian, beliau mahu peminat bola sepak tempatan memandang dari sudut positif kerana ia mampu memberi manfaat kepada pasukan Harimau Malaya untuk bersaing dengan lawan yang lebih kuat.

“Banyak negara lain sudah ambil pemain naturalisasi untuk bermain bersama pasukan kebangsaan. Jadi apa masalahnya? Semua orang sepatunya positif dengan langkah ini.

“Jangan cepat buruk sangka tanpa melihat dahulu apa yang boleh disumbangkan Liridon kepada pasukan kebangsaan nanti. Apabila beliau telah bermain dan tidak mencapai apa yang diharapkan, barulah kita boleh menegur,” katanya.

khalid-ali
Sumber Gambar: Football Tribe

Mengulas mengenai kemasukan pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamdou Sumareh, Khalid menyifatkan bekas pemain Kedah itu akan memberi banyak pilihan kepada pengendali negara, Tan Cheng Hoe untuk membentuk gandingan mantap di bahagian tengah.

“Pada saya beliau pemain terbaik dan boleh bermain tiga atau empat tahun lagi di peringkat tertinggi. Saya percaya gandingannya bersama beberapa pemain tempatan seperti Safawi Rasid akan memberikan impak yang bagus.

“Saya juga lihat beliau mempunyai kelebihan berbanding pemain tempatan yang lain dan atas faktor itu beliau dipilih untuk bermain bersama Harimau Malaya.

“Bagi saya, semua pihak kena buka minda. Tindakan ini bukan langkah ke belakang tetapi salah satu cara untuk meningkatkan mutu skuad negara,” tambahnya.

Selepas Liridon, FAM juga bakal mengambil seorang lagi pemain naturalisasi di posisi serangan. Calon tersebut ialah bekas pemain import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula yang mempunyai pengalaman beraksi dengan 18 buah kelab sepanjang karier bola sepaknya.

Bagaimanapun, proses naturalisasi De Paula memerlukan sedikit masa lagi untuk diselesaikan bagi memastikan FAM memenuhi segala ketetapan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Lihat artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Kelayakan Piala Dunia 2022: Aidil Zafuan Yakin Skuad Harimau Malaya Akan Melangkah Jauh

Kuwait Bakal Uji Kekuatan Harimau Malaya Pada Bulan Jun 2020

Yusoff Mahadi Mahu Skuad Harimau Malaya Takluk Asia Tenggara Pada Tahun 2020