Wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini telah menjejaskan perjalanan Liga Malaysia sehingga menyebabkan kantung kewangan beberapa pasukan Liga Super dan Liga Premier berkurangan.

Malah, pengurusan pasukan sedang mempertimbangkan untuk memotong gaji pemain berikutan kesukaran syarikat penaja untuk terus memberi penajaan kerana ekonomi yang merudum ditambah pula dengan ketiadaan pendapatan dari segi kutipan tiket.

Isu tersebut turut mendapat perhatian daripada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk melakukan pemotongan gaji dan bertegas agar kontrak pemain dipatuhi sebaiknya.

Bagaimanapun, bekas pemain negara era 70an, Khalid Ali memberikan pandangan berbeza melalui laporan dalam Arena Metro dan berpendapat isu tersebut boleh diselesaikan jika barisan kepemimpinan PFAM bijak menangani cadangan pemotongan atau penstrukturan semula gaji dengan objektif untuk memenangkan kedua-dua pihak.

“Apalah salahnya, PFAM menasihatkan ahlinya supaya duduk berbincang dulu dengan pengurusan pasukan masing-masing. Selagi tak berbincang, macam mana nak tahu kaedah terbaik dan penyelesaian dalam isu ketiadaan duit oleh pasukan.

“Saya lihat pegawai PFAM ini lebih pandai daripada Kerajaan Malaysia. Kita tengok kerajaan pun memberi banyak kelonggaran dari segi pembayaran kereta, rumah dan kad kredit serta apa-apa saja mengenai rakyat yang difikirkan akan terbeban dengan masalah Covid-19 ini.

“Apa salahnya kita belajar daripada orang yang lebih pandai daripada kita. Suka sangat buat keputusan ikut perasaan dan akhirnya bukan dapat selesaikan masalah pun, tapi mengeruhkan lagi keadaan. Kerajaan sendiri boleh buat berunding dengan bank untuk membuat penstrukturan semula pembayaran sedangkan kita tahu undang-undang mereka lebih ketat.

“Apalah salahnya PFAM buat perkara sama dengan jadi orang tengah meminta pemain duduk berbincang dan mungkin boleh distrukturkan pembayaran gaji,” katanya kepada Arena Metro.

74236023_2483635611733188_7633433748704329728_o

Khalid Ali. FOTO: FAM

Pada 16 Mac yang lalu, FAM menunda semua perlawanan dan aktiviti bola sepak di semua peringkat berkuat kuasa serta-merta sehingga pada satu tarikh yang ditetapkan.

Keputusan ini dibuat demi kemaslahatan umum selepas mengambil kira semua aspek dan cabaran serta kekangan pemegang taruh, termasuk penjualan tiket dan impak yang besar kepada penonton, media, penaja dan rakan-rakan kongsi secara amnya.

Walaupun langkah ini dilihat sebagai drastik dan mempunyai kesan yang amat besar terhadap industri bola sepak tempatan, ia sejajar dengan arahan Kerajaan Persekutuan menerusi pengumuman YAB Perdana Menteri berhubung perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April.

Baca artikel lain mengenai isu pemotongan gaji pemain bola sepak melalui pautan dibawah.

Ini Pendirian PFAM Berhubunga Isu Gaji Dan Kontrak Pemain Liga Malaysia

“Daripada Satu Sudut, Pemain Mungkin Bimbang Kelab Mencari Alasan Untuk Tidak Membayar Gaji Penuh”

Tiada Perlawanan Menyebabkan KAFA ‘Hilang’ RM100,000 Setiap Perlawanan, Pemain Mungkin Dipotong gaji

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group