Perpindahan kontroversi Mohamadou Sumareh ke Police Tero FC dianggap sebagai satu persinggahan sementara sebelum menyertai pasukan seterusnya, menurut komen lagenda bola sepak tanah air Khalid Ali yang dipetik dari BERNAMA.

Beliau menyifatkan penghijrahan itu sebagai suatu ‘tempoh bertenang’ selepas Sumareh menamatkan kontrak bersama pasukan Pahang mengikut klausa 8.7, seterusnya menjadikan pemergiannya ke Thailand diselubungi misteri dan kontroversi.

Tindakan itu juga membolehkan Sumareh bebas untuk memilih pasukan baru tanpa perlu membayar sebarang yuran perpindahan atau harga yang dirasakan perlu untuk mendapatkan khidmat pemain naturalisasi pertama Malaysia itu.

Berdasarkan isu yang semakin panas itu, Khalid Ali merasakan ada perancangan tersusun yang lain disebalik tindakan berani Sumareh meninggalkan pasukan yang bertanggungjawab menaturalisasikan beliau.

“Saya tidak mahu menunding jari, tetapi ini mungkin satu strategi yang rapi,” katanya kepada BERNAMA.

“Ini cara beliau beralih ke pasukan lain, kita panggil ‘cooling period‘. Perpindahan beliau ke Thailand bersifat sementara dan selepas tamat tempoh bertenang itu, beliau akan kembali bermain dengan pasukan diidami.

“Kemungkinan ini bukan perancangan Sumareh, tetapi ia adalah satu taktik untuk beliau (Sumareh) dapat bermain dengan pasukan, yang mungkin telah berunding dengannya,” tambah bintang era 80-an itu.

Sumareh yang mempunyai baki kontrak sehingga 2022 bersama Pahang, turut tidak menghadiri beberapa aksi Liga Super membabitkan negeri itu sebaik saingan Liga Malaysia bersambung pada 28 Ogos.

Media tempatan melaporkan kemelut antara Sumareh dan PBNP berpunca daripada kegagalan PBNP membayar gaji pemain itu, sekali gus menyaksikan beliau membuat tuntutan sehingga lebih RM1 juta ke atas Pahang, menerusi peguamnya yang berpangkalan di Switzerland.

Melihat dalam konteks masalah pembayaran gaji pemain, Khalid yang juga bekas pemain Selangor mengakui, setiap pemain mempunyai impian beraksi bersama pasukan yang mampu menjamin masa depannya.

“Sebagai pemain bola sepak, saya lebih suka bermain dengan pasukan yang boleh memberi saya satu masa depan yang baik,” jelas Khalid.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami  sediakan untuk anda.

Kelantan United ‘Rehatkan’ Zahasmi Ismail Atas Faktor Prestasi, Gaji Pemain Tertunggak Lebih 2 Bulan Sejak Jun 2020

Tonton Video Irvin Cardona Sumbat Gol Gaya ‘Shaolin Soccer’, Hikmat Tendangan Bola Diatas Angin

Sultan Selangor Beli Kasut Emas Khalid Jamlus, Bakal Dipamerkan Di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor

Sumber