Esok, beberapa pemain akan melapor diri di kem latihan pusat pertama skuad Harimau Malaya dibawah kendalian Ketua jurulatih baharu dari Korea Selatan, Kim Pan-gon. Ini adalah sebahagian daripada persiapan awal untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada bulan jun nanti.

Selain itu, Malaysia juga akan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) bertemu Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) serta satu lagi perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac 2022, ketiga-tiganya berlangsung di Singapura.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berharap para pemain yang dipanggil dapat mengikuti latihan keras dibawah Kim Pan-gon sekaligus mengubah corak permainan skuad negara.

“Pasukan ini tak ada beza sangat dengan pasukan di Piala AFF bulan 12 lalu dan juga masa Kelayakan Piala Dunia di UAE (Emiriah Arab Bersatu) tahun lepas.

“Cuma di sinilah peranan jurulatih baharu nak corakkan dan ubah cara permainan pemain. Saya jangka Pan-gon amalkan corak latihan keras ke atas pemain.

“Kita tahu jurulatih dari Korea selalu tegas dan saya nak lihat pemain kita yang manja ini boleh ikut cara beliau atau tidak.

“Pemain kena ubah sikap. Mereka kena letak jiwa bermain untuk negara, dan paling penting negara adalah segala-galanya dan bukan kelab,” katanya kepada Harian Metro.

Skuad Kebangsaan
30 Pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Skuad Harimau Malaya akan turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari bermula Isnin, 14 Mac 2022 sebelum dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac 2022.

Lebih menarik, pemain berpengalaman, Safiq Rahim turut disenaraikan bersama dua pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi. Antara muka baharu yang menyertai skuad kali ini ialah Khair Jones, Sharul Nazeem, Rahadiazli Rahalim, Ramadhan Saifullah, Hakimi Abdullah dan Hong Wan.

Menurut Pan Gon, pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi semasa Liga Malaysia dan maklumat tambahan kepada statistik lepas serta jumlah minit permainan dalam perlawanan antarabangsa dari tahun 2019 hingga 2021.

“Berdasarkan perlawanan liga, kami telah mengenal pasti hampir 70 pemain sebelum mengurangkannya kepada pemain-pemain yang kami percaya sesuai dengan falsafah permainan dan pelan taktikal kami.

“Mungkin tidak 100 peratus tepat, tetapi kami akan menganalisa keupayaan mereka dari segi teknikal, taktikal dan tingkah laku profesionalisme,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Kim Pan-gon Minta Semua Pihak Bersabar

RASMI: Elavarasan Jadi Pilihan Kim Pan Gon Sebagai Penolong Jurulatih

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya

Tengku Amir Harap Skuad Harimau Malaya Raih Banyak Kejayaan Dibawah Kendalian Kim Pan-gon