Wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini telah menjejaskan perjalanan Liga Malaysia sehingga menyebabkan kantung kewangan beberapa pasukan Liga Super dan Liga Premier berkurangan. Situasi itu menyebabkan pemotongan gaji pemain terpaksa dilaksanakan.

Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan membayangkan saingan Liga Malaysia mungkin akan bersambung pada bulan Jun namun tiada gunanya jika penonton dilarang daripada hadir ke stadium untuk mengelakkan daripada peningkatan kes COVID-19.

Bagaimanapun, bekas pemain negara era 70an, Khalid Ali melalui laporan dalam Arena Metro berpendapat saingan Liga Malaysia musim ini perlu dibatalkan bagi melindungi kesihatan pemain dan pegawai pasukan.

“Sedangkan petugas KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang terdiri daripada doktor, jururawat serta barisan hadapan pihak polis pun boleh terkena Covid-19, inikan pula hanya membabitkan pemain dan pegawai perlawanan saja dalam stadium.

“Bagi saya baik batalkan terus dan kita mulakan balik tahun depan saja. Ini adalah jalan yang lebih baik daripada mempertaruhkan pemain dan pegawai saja demi untuk meneruskan liga.

“Kita kena ikut arahan kerajaan kerana apa yang disuarakan mereka adalah untuk keputusan yang terbaik. Kena ingat, orang yang nak buat Haji pun dibatalkan tahun ini apalah sangat bola sepak,” katanya kepada Arena Metro.

mfl

Cadangan tersebut turut mendapat sokongan oleh salah satu penaja pasukan Terengganu FC (TFC), GLE Centre Enterprise melalui kenyataannya dalam Berita Harian pada minggu lalu kerana mereka mengakui terkesan dari segi faktor kewangan jika liga terus ditangguhkan.

Pihak penaja merasakan jika perlawanan diteruskan tanpa kehadiran penyokong selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tetap akan memberi kerugian kepada pasukan yang bertanding dari segi kutipan tiket serta pemasaran.

Khalid Ali turut mengesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL mengadakan rundingan semula dengan pihak penaja dan membuat keputusan yang sewajarnya.

“Saya yakin penaja akan memahaminya. Lagipun liga baru empat perlawanan saja, jadi tak salah nak batalkan.

“Seperti mana yang disuarakan kerajaan, wabak ini memakan masa untuk dipulihkan,” jelas Khalid.

Malaysia telah mencatatkan lebih 4,000 kes COVID-19 di seluruh negara, manakala 67 kematian telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Namun sejak itu, lebih 1608 orang pesakit telah sembuh dari wabak itu.

Baca artikel lain berkaitan dengan kesan penularan wabak COVID-19 sehingga menjejaskan saingan Liga Malaysia musim ini.

Ismail Zakaria Cadangkan MFL Ikut Jejak Langkah Belgium Batalkan Sahaja Liga Malaysia 2020

Melaka United Kerugian Setengah Juta Ringgit Kerana Penangguhan Liga Malaysia

Penaja Pasukan Terengganu FC Setuju Dengan Cadangan Pembatalan Liga Malaysia 2020