Bekas Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin menegaskan beliau akan membuat pengumuman mengenai statusnya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam jangka masa terdekat.

Khairy berkata demikian ketika kali pertama ke udara bersama stesen radio di bawah rangkaian Media Prima iaitu Hot FM semasa mengendalikan segmen Bekpes Hot baru-baru ini.

Menurut Khairy Jamaluddin, jawatan CEO yang ditawarkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) bukanlah satu perkara main-main.

Khairy Jamaluddin JDT
Sumber Gambar: Bernama

“Terima kasih TMJ kerana menjemput saya menjadi sebahagian daripada keluarga JDT. Pasukan ini memang pasukan terbaik di Malaysia. In Sha Allah, dalam masa terdekat kita akan umum penglibatan saya dalam JDT.

“Lebih kurang dah boleh confirm. Perkara ini serius, bukan main-main. Dulu waktu umum saya jadi DJ Hot FM pun orang ingat main-main, tak serius,” katanya dipetik dari laporan Majoriti.

Tambah Khairy, bekas ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini dilema untuk menerima tawaran tersebut kerana beliau merupakan penyokong setia Kedah Darul Aman.

“Tawaran itu agak konflik sikit sebab saya sokong Kedah dari dulu. Saya orang Kedah. Saya boleh je (terima tawaran CEO JDT), kita multi-tasking dengan tugas sebagai DJ,” tambahnya.

Khairy Jamaluddin JDT
TMJ Khairy Jamaluddin

Sebelum ini, TMJ memuat naik gambar bersama Khairy dengan mengatakan individu berusia 47 tahun itu bakal memegang jawatan penting dalam kelabnya.

“Bakal CEO JDT dan Penasihat Belia Negeri Johor pada masa akan datang,” kata TMJ.

Selain jawatan CEO, TMJ turut menegaskan Khairy juga boleh memegang jawatan sebagai presiden kelab.

Khairy baru-baru ini dipecat oleh UMNO dimana keputusan itu dibuat ketika Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.