Bekas menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberi bayangan beliau berminat dengan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Penasihat Belia Negeri Johor seperti yang ditawarkan oleh Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ).

Selepas dipecat daripada Parti UMNO baru-baru ini, TMJ telah memuatnaik gambar beliau bersama Khairy Jamaluddin dengan mengatakan bekas Ahli Parlimen Rembau itu bakal memegang jawatan CEO JDT dan juga Penasihat Belia Negeri Johor.

Khairy menerusi laman media sosial Instagram Story miliknya menyambut baik tawaran daripada TMJ itu dan tidak menolak kemungkinan untuk bergabung dengan juara Liga Super 2022.

“Satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka luas. Rezeki di tangan Allah,” kata Khairy.

Selain jawatan CEO, Tunku Ismail turut menegaskan Khairy juga boleh memegang portfolio sebagai presiden kelab kerana beliau mempunyai pengalaman dalam arena bola sepak tanah air.

Ketika ini, posisi CEO skuad Harimau Selatan itu dipegang oleh Alistair Edwards manakala Hector Bidoglio dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal selepas menjadi ketua jurulatih musim lalu.

Khairy mempunyai pengalaman dalam bidang bola sepak dimana Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) ditubuhkan ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2014 lalu.

Hasilnya, beberapa pemain terbaik lahir daripada program tersebut seperti Luqman Hakim yang kini beraksi di Belgium bersama KV Kortrijk dan Arif Aiman Hanapi yang kini menjadi pemain utama JDT.