Bekas penjaga gol pasukan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menggesa agar bekas majikan beliau, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar menjelaskan tunggakan gaji yang berjumlah RM143,000.

Khairul melalui peguamnya, Zhafri Aminurashid menegaskan pihaknya telah menghantar surat kepada KAFA meminta mereka untuk menjelaskan pembayaran gaji bagi saingan musim 2015 dan 2016. Namun, sehingga ke saat ini, KAFA masih lagi berdiam diri.

Khairul Fahmi Che Mat
Sumber Gambar: Football Tribe

“Sekiranya masih tidak ada balasan atau penyelesaian, kita akan membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Status FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) selepas hari raya.

“Jika masih tidak dibayar juga kita akan rujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Norhafiz Zamani Misbah

Selain Khairul Fahmi, tiga lagi bekas pemain Kelantan iaitu Mohd Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitree Ishak dan Norhafiz Zamani Misbah turut membuat tuntutan tunggakan gaji kepada KAFA.

Jumlah tuntutan yang dikemukakan oleh keempat-empat pemain di atas berjumlah lebih daripada RM300,000.

Tambah Zhafri, anak guamnya bertekad untuk menghantar surat tuntutan kerana KAFA telah lama membisu mengenai perkara tersebut dan selalu menabur janji kosong terhadap penjaga gol yang mesra disapa Apek itu.

“Bila minta pada KAFA, mereka beritahu dia jangan risau kerana jumlah tunggakan gajinya tidak banyak dan akan dibayar, sekaligus jika dapat tajaan,” tambahnya.