Penyerang import Felda United dari Singapura, Khairul Amri Mohamad Kamal mendedahkan dia memiliki impian sebelum menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.

Khairul berhajat untuk melihat lebih ramai pemain-pemain kelahiran Singapura mewarnai Liga Malaysia yang dianggapnya sebagai salah satu liga terbaik di Asia Tenggara.

Katanya: Apa hasrat saya sebelum bersara dari dunia bola sepak? Saya berhajat untuk menyaksikan kembali penampilan Lions XII di Liga Malaysia atau lebih ramai pemain-pemain Singapura datang menyertai Liga Malaysia.

Khairul Amri
Khairul Amri
Sumber Gambar: Felda United

“Banyak memori manis saya dalam kancah Liga Malaysia dan antara salah satunya adalah jaringan gol saya ketika menentang Terengganu dalam aksi separuh akhir Piala FA 2015 sebelum Lions XII dinobatkan sebagai juara tahun itu dengan menewaskan Kelantan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Secara peribadi saya yakin bahawa pemain-pemain Singapura sebenarnya mampu bersaing dengan pemain-pemain import yang lain di mana mereka turut mampu memberikan prestasi yang memberangsangkan.

“Selain itu, ia juga satu keuntungan buat pasukan Liga Malaysia menambat pemain Singapura kerana secara tidak langsung mereka juga dapat mengumpul peminat di sana.

Khairul Amri
Aksi Khairul bersama Felda United
Sumber Gambar: Felda United

Pada masa yang sama, Khairul Amri menegaskan Felda United akan berjuang habis-habisan dalam usaha layak ke kelompok lapan pasukan terbaik Piala Malaysia 2019.

Felda United menduduki tangga tercorot Kumpulan D selepas ketinggalan lima mata dengan pendahulu, Melaka disusuli Selangor (4 mata) dan PDRM (2 mata).

Tambah Khairul Amri: Perjuangan Felda United sukar tetapi peluang itu masih ada. Apa yang pasti kami tidak boleh tercicir mata jika mahu melepasi peringkat kumpulan kali ini.

“Sudah pasti kami akan berusaha habis-habisan untuk mendapatkan kedudukan lebih baik dan berusaha mendapatkan slot suku akhir Piala Malaysia 2019,” katanya yang sudah meledak empat gol sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini.