Semalam, badan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) mendedahkan pemain Singapura menguasai carta import kuota ASEAN dengan lima pemain menjadi pilihan buat pasukan di saingan CIMB Liga Super musim 2020.

Persamaan budaya dan bahasa menjadi kelebihan mengapa pemain dari Singapura menjadi pilihan kebanyakan pasukan Liga Malaysia untuk mengisi kuota import ASEAN.

Bagaimanapun, bekas penyerang kebangsaan Singapura yang kini bersama Felda United, Khairul Amri meluahkan kebimbangannya mengenai kualiti pemain muda negaranya berdasarkan keputusan kurang baik dalam kempen pertandingan bawah umur anjuran Konfederasi Bolasepak (AFC) serta prestasi buruk di Sukan SEA 2019.

“Bukan sahaja saya,semua pihak bimbang dengan perkembangan bola sepak di Singapura buat masa ini dan mungkin legasi yang kami tinggalkan tidak dapat diteruskan.

“Sebagai contoh di posisi saya iaitu penyerang, hanya Ikhsan Fandi dan adik saya, Khairul Nizam sahaja mampu disandarkan dan selain itu tiada siapa lagi.

“Kami harap perkara ini sementara sahaja dan mungkin ada pemain lain dapat meneruskan rekod baik pemain Singapura untuk bermain di sini,” katanya kepada MFL.

khairul amri MFL
Aksi Khairul Amri bersama Felda United musim 2020. FOTO: MFL

Selain Khairul Amri, 4 lagi pemain Singapura yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini ialah Hariss Harun (Johor Darul Ta’zim), Shakir Hamzah (Kedah), Safuwan Baharudin (Selangor), dan Faris Ramli (Terengganu FC).

Mereka berlima sebelum ini pernah bermain dengan LionsXII dalam Liga Malaysia musim 2012 hingga 2015. Pengalaman itu memberi kelebihan kerana kebanyakan jurulatih sudah mengetahui corak permainan mereka. 

Biarpun mungkin kekuatan fizikal tidak menyamai pemain import berdarah campuran terutama dari Filipina atau Thailand namun kemampuan teknikal pemain Singapura berada dalam satu aras dengan pemain kebangsaan ASEAN lain.

“Pengalaman lima tahun lalu ketika beraksi dengan LionsXII sebenarnya beri kelebihan buat kami dalam meraih kepercayaan jurulatih kerana mereka sudah kenal majoriti daripada kami.

“Bila kuota ASEAN dibuka beberapa tahun lalu (2018), saya memang gembira kerana majoriti pemain Singapura menjadi pilihan kebanyakan pasukan.

“Fizikal kami mungkin tidak sama dengan kebanyakan pemain campuran tetapi kami bermain atas dasar semangat yang tinggi serta ada keupayaan teknikal tersendiri,” jelas Amri.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia 2020 melalui pautan dibawah.

Kehadiran Tiga Pemain Thailand Dalam Liga Super 2020 Memberi Petanda Baik

MFL Sudah Ada Alternatif Lain Jika Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan

Pemain UKM FC Setuju Dengan Pemotongan Gaji Hingga 20 Peratus