Setelah berehat lebih sebulan ekoran kecederaan hamstring, pemain tengah, Khairu Azrin Khazali, akui sudah tidak sabar untuk turun buat kali pertama bagi membantu pasukan baharunya, Kedah Darul Aman FC di pentas Liga Super apabila berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman, Rabu ini.

Menurutnya, dia sudah hampir pulih sepenuhnya apabila turun selaku pemain gantian dalam dua perlawanan persahabatan lalu semasa berdepan Piala Presiden Kedah dan pasukan dari Liga M3, Harini FT.

“Rasa kecewa juga di permulaan musim baharu, saya tidak dapat bermain lebih kurang tiga perlawanan kerana kecederaan hamstring yang memerlukan tempoh rawatan yang agak lama.

“Namun, waktu rehat liga yang panjang beri hikmah kepada saya mendapatkan masa pulih yang lebih teratur agar tidak terlalu tergesa-gesa untuk kembali cergas.

“Saya kini berada di tahap terbaik untuk bermain dengan pasukan dan berdasarkan perlawanan persahabatan tempoh hari, saya rasa sudah bersedia untuk aksi kompetitif.

“Melihatkan aksi Kedah dalam perlawanan sebelum ini, saya memang rasa gembira kerana dapat bermain di sini dan sudah tidak sabar melakukan penampilan buat pertama kali di depan penyokong Kedah,” katanya kepada MFL.

Khairu Azrin merupakan pemain tengah yang memainkan peranan nombor 6 iaitu membantu dalam aspek semasa bertahan.

Pemain ini mendapat pujian musim lalu semasa bersama Penang FC apabila menjadi antara watak penting membantu pasukan meraih tempat ketiga Liga Super.

Ketiadaannya jelas dirasai ketika kempen TM Piala Malaysia apabila Penang sekadar menamatkan cabaran di saingan peringkat kumpulan.

Bersama Kedah, Khairu Azrin akui dia jelas berdepan cabaran hebat bagi meraih tempat dalam kesebelasan utama dengan kehadiran ramai pemain berkualiti di bahagian tengah.

“Di posisi saya, ada pemain import seperti Dechi Machel yang pasti menjadi pilihan utama berdasarkan kualiti yang dimiliki.

“Semasa saya cedera, jurulatih memilih Fadzrul Danel selain tidak dilupakan pemain seperti Amirul Hisyam serta Asnan Ahmad.

“Semua mereka ini merupakan pemain yang sangat hebat dan jelas saya perlu bekerja keras semasa latihan bagi memikat perhatian jurulatih.

“Sememangnya ini adalah satu persaingan yang sihat demi kebaikan pasukan yang akan lalui pelbagai kejohanan musim ini seperti Piala AFC,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19

Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam

Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium