Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Anas Hafiz mengesahkan pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada badan pentadbir liga, Malaysian Football League (MFL) berhubung penggantungan tonggak pertahanan import mereka, Renan Alves yang tidak dapat beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA, sabtu ini.

Pemain dari Brazil itu digantung kerana mengutip kad merah ketika aksi terakhir Liga Super menentang FELDA United minggu lepas. Namun berdasarkan peraturan tindakan tatatertib pertandingan kejohanan Liga Malaysia, kes kad merah yang diterima dalam perlawanan terakhir sesuatu kejohanan, pengggantungan akan dijalankan dalam perlawanan seterusnya dalam kejohanan lain.

“Kita sudah membuat semakan dengan MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menyatakan Renan akan digantung dalam perlawanan seterusnya iaitu final Piala FA, Sabtu ini selepas mengutip kad merah dalam aksi terakhir Liga Super.

“Ini berdasarkan peraturan tindakan tatatertib pertandingan kejohanan Liga Malaysia. Bagaimanapun, kita akan membuat rayuan segera kerana terdapat sedikit kekeliruan dalam perkara ini,” katanya seperti dipetik dalam Utusan Malaysia.

Sementara itu, pengendali skuad helang merah, Aidil Sharin Sahak tidak terlalu risau dengan ketiadaan Alves kerana beliau masih mempunyai beberapa pemain muda berkualiti yang mampu mengisi kekosongan itu pada perlawanan akhir nanti.

“Kalau rayuan terhadap Renan ditolak saya perlu beralih melihat kerja keras dan latihan pemain lain setiap hari menjelang aksi final itu nanti, tetapi saya tidak boleh sebut siapa pilihan saya.

“Sudah tentu saya sedang mencongak pelan A dan pelan B dan kita akan lihat nanti siapa yang terbaik untuk diturunkan bagi menggalas tanggungjawab itu,” katanya dalam Sukan Sinar

67229992_2631756833523444_5301688131030876160_o
Pemain Kedah giat menjalani latihan menjelang perlawanan akhir Piala FA sabtu ini. FOTO: Kedah FA

Mengulas mengenai aksi perlawanan akhir sabtu ini, Aidil menganggap Perak sebagai pasukan pilihan berdasarkan prestasi yang dipamerkan oleh skuad kendalian Mehmet Durakovic itu dalam tiga perlawanan terakhir baru-baru ini.

“Perak boleh menggelarkan mereka sebagai pasukan underdog, begitu juga kita tetapi perkara itu tidak menjadi masalah kerana apa yang saya mahu para pemain mesti fokus sepanjang 90 minit permainan.

Kali terakhir Kedah membawa pulang Piala FA adalah dua tahun lalu, apabila menumpaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.