Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan mereka telah menerima agihan tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 daripada pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebanyak 30,000 keping tiket dewasa dan 750 keping tiket untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh KFA semalam, mereka akan menjual 20,000 keping tiket di kaunter Stadium Darul Aman dan akan memberikan baki 10,000 kepada orang kenamaan seperti Pembesar Negeri, penaja pasukan, ahli eksekutif serta ahli gabungan pasukan.

Keputusan KFA untuk memberikan sebanyak 33% daripada tiket perlawanan akhir yang diperuntukkan oleh MFL kepada orang kenamaan jelas mendapat kritikan dan rasa tidak senang daripada ramai pihak khususnya peminat setia pasukan Kedah.

Jumlah tiket yang diberikan kepada orang kenamaan dianggap terlalu banyak kerana ramai lagi peminat yang lebih layak untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir, terutamanya peminat yang selalu hadir ke stadium dan mengikuti pasukan apabila beraksi di tempat lawan sejak awal musim 2019 bagi memberikan sokongan kepada Kedah.

Pada masa yang sama, tindakan KFA ini turut merugikan diri sendiri apabila mereka terlepas peluang untuk memperoleh pulangan daripada 10,000 keping tiket yang diberikan kerana jumlah tersebut bersamaan dengan nilai RM500,000. Satu jumlah yang agak besar dan sedikit-sebanyak mampu untuk mengukuhkan kantung kewangan pasukan.

KFA akan mula menjual tiket perlawanan akhir Piala FA pada 23 Julai ini bermula jam 10:30 pagi. Setiap individu hanya dibenarkan membeli tiga keping tiket. Kedah mara ke perlawanan akhir dengan menyingkirkan pasukan Felda United di peringkat separuh akhir menerusi kelebihan gol di tempat lawan.