Minggu lalu, usahawan terkemuka, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman telah menyatakan minat untuk untuk menjadi pemilik pasukan Kedah seperti dinyatakan dalam syarat penswastaan kelab oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Langkah melakukan pemisahan FA ke FC itu telah pun diarahkan oleh FAM kepada kelab-kelab yang bertanding pada Februari 2020, dan diwajibkan menyelesaikan proses tersebut sebelum 30 September 2020.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), YAB Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah turut mengesahkan perkembangan itu dan menjelaskan pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada Aliff Syukri untuk mengadakan perbincangan tentang pemilikan kelab atau penajaan.

“Saya sudah tandatangani surat itu dan dihantar minggu lalu. Datang berunding dan kita mahu lihat apa manfaat yang kita dapat, kalau secara sukarela, alhamdulillah.

“Apa yang KFA lakukan ini menunjukkan kita serius untuk berunding dengan sesiapa sahaja dan tidak mahu ia hanya menjadi tajuk di dada akhbar semata-mata.

“Tapi jika beliau mahukan sesuatu yang boleh kita beri, insya-Allah kita usahakan tetapi kalau yang diminta itu sesuatu yang tak boleh diberikan, kita berhenti setakat itu sajalah,” katanya.

sanusi mb
YAB MB Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO: UPDA

Sanusi turut mendedahkan terdapat juga pihak lain yang berminat untuk memberikan penajaan dan bekerjasama dengan KFA namun jawapan yang diberikan mereka agak berbeza.

“Ada yang positif dan ada yang senyap begitu saja tetapi kita akan tetap teruskan perjuangan memantapkan pasukan ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed mengesahkan setakat ini hanya lima persatuan dan kelab sudah melengkapkan proses penswastaan dan pemisahan FA ke FC.

Paling mengejutkan, Perlis FA adalah antara pasukan yang sudah melengkapkan proses penswastaan walaupun disingkirkan daripada Liga Malaysia tahun lalu ekoran masalah kewangan yang serius.

Pasukan yang lain ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak FA, PJ City, ATM FA dan Negeri Sembilan FA.

Baca artikel lain mengenai isu penswastaan kelab dalam Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Perlis FA Antara 6 Pasukan Yang Sudah Lengkapkan Proses Penswastaan Kelab

FAM Jumpa 3 Wakil Kelab Bantu Selesaikan Proses Pertukaran FA Ke FC

12 Pasukan Liga Malaysia Sedang Giat Lengkapkan Proses Pertukaran FA Ke FC