Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memberi jaminan bahawa tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 yang akan dijual di kaunter Stadium Darul Aman pada 23 Julai ini mencukupi.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata peminat Kedah tidak perlu risau kerana bilangan tiket yang dijual kali ini adalah lebih tinggi berbanding sebelumnya dimana hanya 10,000 tiket sahaja yang diperuntukkan.

Asmirul Anuar Aris
Sumber Gambar: KFA

“Saya yakin jumlah 20,000 adalah mencukupi, sebab penjualan tiket di kaunter sebelum ini tak lebih daripada 10,000, jadi jumlah ini lebih tinggi.

“Saya harap penyokong tak perlu risau hingga mungkin ada yang mahu tidur di stadium. Bagi saya kalau boleh datanglah pada waktu awal pagi dan tak perlu tidur di situ,” kata Asmirul menurut laporan Berita Harian.

Asmirul turut mengulas mengenai kuota tiket yang diberikan kepada orang kenamaan sebanyak 10,000 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Kuota khas ini adalah kepada pegawai-pegawai kerajaan, pengurusan pasukan Piala Presiden, Piala Belia, skuad wanita termasuk futsal, atlet-atlet dan lain-lain.

“Jumlah ini juga temasuk ahli-ahli kelab gabungan sebanyak 37 persatuan bola sepak di bawah naungan KFA serta penaja-penaja utama pasukan Kedah.

“(emua tiket ini bukanlah diberi secara percuma, malah semua tiket ini perlu dibayar dan saya sendiripun jika mahukan tiket saya terpaksa beli. Ini dilakukan selepas kita selesaikan dahulu jualan kepada penyokong bola sepak Kedah,” tambahnya.