Persidangan Dewangan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam diberitahu jumlah tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kini meningkat kepada RM10 juta.

Jumlah itu diperolehi selepas pihak LDHN membuat semakan semula dokumen berkaitan penggajian dari tahun 2014 sehingga 2019 pada Mac lepas menurut kenyataan daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Mohd Firdaus Ahmad

“Semakan tersebut mendapati KFA mempunyai tunggakan PCB/CP38 (potongan caruman berjadual). Jumlah tunggakan PCB/CP39 itu telah meningkat kepada RM10 juta,” katanya seperti dipetik dalam Bernama. 

Difahamkan tunggakan cukai tersebut meliputi tunggakan PCB pemain import musim lalu membabitkan Sandro Da Silva sebanyak RM2.3 juta dan Liridon Krasniqi sebanyak RM1.78 juta. Ia turut melibatkan Bang Seung Hwan sebanyak RM935,000, Ken Ilso Larson (RM470,000), Chidi Edeh (RM434,000) dan Carlos Kahe (RM346,000).

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, menjelaskan tunggakan itu berpunca daripada pengurusan KFA yang lama apabila memotong gaji pemain serta jurulatih bagi bayaran cukai pendapatan, namun gagal melunaskan bayaran itu kepada LHDN.

Justeru itu, pihaknya akan cuba berunding bersama LHDN untuk dihapus kira berikutan kegagalan pengurusan lama melunaskan kutipan bayaran pada tahun sebelumnya.

“Sepatutnya kalau ada tunggakan pada 2018 atau 2017, tuntutlah pada tahun itu juga tetapi mereka kata pada masa itu pengurusan KFA lama tidak memberi kerjasama.

“Sekarang apabila pengurusan baharu beri kerjasama, mereka datang longgok semua atas ‘kepala’ kita. Kalau macam itu, teruklah kita kerana KFA bukan buat untung, sebaliknya memajukan sukan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penaja,” katanya.

Jelasnya, jika KFA gagal menyelesaikan isu ini, lesen Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) mungkin ditarik balik dan pasukan itu tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan termasuk Piala AFC.

“Tunggakan ini berlaku pada masa lalu, tak bolehlah kutip sekarang. Justeru saya berunding dengan LHDN untuk memohon hapus kira di atas kegagalan mereka membuat kutipan pada masa lalu.

“Kita kena susun dan dapatkan surat pelepasan LHDN, kalau tak dapat pelepasan, kita tak boleh main kerana tak dapat lesen pada musim depan. Dosanya pada masa lalu, dan kerja saya pula menyucikan dosa lama,” katanya seperti dipetik dalam Harian Metro.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Langkawi City Jalin Hubungan Kerjasama Dengan Borussia Dortmund

Sri Pahang Rancang Bina Pusat Latihan Lengkap

Joma Terus Bersama Selangor Sehingga 2023 Dengan Jumlah Penajaan Bernilai RM2.1 Juta Setahun