Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam menegaskan beliau tidak berminat untuk ‘bertikam lidah’ dengan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menerusi platform media tempatan.

Ini kerana Kevin menegaskan MFL telah mengemukakan segala bukti bagi menangkis tuduhan tidak berasas yang diajukan olej Posa.

Kevin Ramalingam

“Sebelum ini kita telah memberikan penjelasan berkaitan insurans dan lampiran akaun kewangan yang beraudit.

“Kita mahu jelaskan sudah tentu jika ada tuduhan berkaitan dengan tiada pembayaran perlawanan rasmi, kami akan mengeluarkan bukti-bukti yang perlu.

“Namun bagi saya ia (kritikan) tidak akan berhenti di situ sahaja kerana selagi seseorang itu cuba untuk menaikkan sesuatu isu, beliau akan mencari isu lain tetapi apa yang kita nampak hanya satu kenyataan yang tidak berasas dan berlandaskan emosi, “ kata Kevin.

Baru-baru ini, Posa mendakwa MFL telah gagal membayar kos tuntutan perjalanan pegawai perlawanan kepada FAS.

Berdasarkan rekod, MFL tidak menyerahkan tuntutan kos perjalanan pengadil bernilai RM33,726.54 kepada FAS memandangkan mereka memiliki hutang lebih tinggi kepada MFL berikutan belum melunaskan hutang levi sebanyak RM34,924.70 pada tahun lalu.

Hutang FAS dengan MFL terus meningkat tahun ini apabila belum
membayar levi sebanyak RM48,547.30 sedangkan bayaran tuntutan kos perjalanan pengadil FAS hanya berjumlah RM20,575.34.