Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam menegaskan keadaan stadium di seluruh negara berada dalam keadaan selamat biarpun tidak memiliki sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF) daripada pihak kerajaan negeri atau Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ini kerana Kevin menegaskan stadium di seluruh negara sebelum ini tidak diwajibkan untuk memohon CCC atau CF berdasarkan peraturan kerajaan terdahulu.

Kevin menegaskan projek pembinaan oleh kerajaan sentiasa menitikberatkan soal keselamatan rakyat di mana elemen penting pembinaan stadium telah mengikut perancangan biarpun tiada CCC atau CF.

Kevin Ramalingam

Sumber Gambar: Kosmo

“Saya tidak tahu kalau semua pihak faham bahawa ada satu peraturan dahulu di mana jika satu pembinaan itu dibina oleh JKR, maka CCC atau CF tidak diperlukan.

“Kemungkinan ada perubahan yang dilakukan dalam peraturan itu tetapi bagi saya, peraturan dahulu lebih longgar dan tidak perlukan CCC atau CF.

“Kita tidak boleh mengatakan stadium itu tidak selamat sebab tiada CCC atau CF kerana peraturan itu tidak diperlukan pada satu ketika dahulu.

“Sudah tentu pada masa sekarang kita sendiri sebagai MFL juga menggesa pasukan-pasukan mendapatkan pengiktirafan daripada segi CCC atau CF tetapi kita harus tengok dan tidak boleh mengatakan semua stadium di Malaysia tidak selamat disebabkan tiada CCC atau CF.

“Ini kerana stadium-stadium ini dibina dengan selamat dan tiada keperluan (untuk mendapatkan CCC atau CF) pada waktu itu,” katanya.

Kevin Ramalingam

Dalam perkembangan sama, Kevin mengakui MFL telah menggesa pihak pengurusan stadium berusaha meminta pengiktirafan daripada kerajaan negeri atau JKR dalam mendapatkan CCC atau CF.

Bagaimanapun, Kevin sekali lagi menggesa agar semua pihak mengubah mentaliti kononnya sebahagian stadium-stadium di seluruh negara berada dalam keadaan tidak selamat disebabkan tiada CCC atau CF.

“Ya, sekarang stadium itu sudah sedikit lama dan perlu dipertambahbaik tetapi kita tidak boleh ada pemikiran mengatakan stadium-stadium sudah tidak selamat disebabkan tiada CCC atau CF.

“Tiada CCC atau CF itu sebenarnya daripada peraturan kerajaan sejak dari dahulu lagi. Jadi, harap perkara ini tidak dijadikan satu isu yang besar dan boleh diselesaikan.

“Saya sendiri pernah tengok stadium yang tidak ada CCC atau CF yang diberikan daripada kerajaan negeri atau JKR negeri tetapi perkara itu cuma perlu mendapat permintaan daripada pihak yang menguruskan stadium itu.

“Sekarang kesemua pasukan menyedari kepentingan itu dah sudah ada beberapa pihak pengurusan stadium berusaha untuk mendapatkan CCC atau CF kerana ia juga antara kriteria dalam Pelesenan Kelab di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” ujarnya.

Baca artikel lain mengenai status keselamatan stadium di Malaysia di sini:

Jabatan Bomba Sahkan 13 Stadium Di Malaysia Tidak Mempunyai Sijil Layak Menduduki

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group