Tiada ruang buat Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk mengemukakan rayuan kali kedua selepas Malaysian Football League (MFL) mengekalkan hukuman menyingkirkan Perlis dari Liga Malaysia 2019.

Ini kerana MFL menegaskan keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL menolak rayuan PFA untuk kembali bersaing dalam Liga Premier selepas hanya sempat beraksi tiga perlawanan adalah muktamad.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, tiada asas buat PFA untuk mengemukakan rayuan kali kedua selepas badan induk persatuan negeri itu sebelum ini telah diberikan ruang untuk mengemukakan dokumen sokongan kewangan selepas hukuman menyingkirkan Perlis dari Liga Premier 2019 diumumkan pada 20 Februari lalu.

“Kita perlu nyatakan bahawa mengikut peraturan perlembagaan MFL yang sedia ada memang tidak ada ruang untuk rayuan kedua.

“Jadi kita perlu menegaskan bahawa apa-apa dokumen yang akan dihantar semula tidak mengubah keputusan kerana ia sudah muktamad.

“Keputusan telah pun dicapai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam selepas PFA mengemukakan dokumen sokongan kewangan bagi proses rayuan selama tujuh hari sejak keputusan pembatalan penyertaan Perlis dalam Liga Premier pada 20 Februari lalu.

“Keputusan ini diambil kerana Perlis berdepan masalah tunggakan gaji pemain serta PFA dilihat tidak memiliki kewangan yang kukuh untuk meneruskan persaingan Liga Premier musim 2019.

“Pihak MFL percaya PFA boleh mengambil positif keputusan ini untuk memperkemaskan bahagian pengurusan, menyelesaikan tunggakan gaji serta merencana perancangan kewangan lebih kukuh untuk kembali bersaing dalam Liga Malaysia selepas ini,” katanya.

Semalam, MFL mengumumkan bahawa rayuan PFA untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia 2019 ditolak sekali gus menyaksikan keputusan MFL menyingkirkan skuad Singa Utara musim ini dalam saingan Liga Premier dikekalkan.

Dalam proses itu, antara dokumen yang diminta MFL adalah jumlah wang penajaan yang akan didepositkan dalam akaun escrow dengan peguam dan perancangan masa depan PFA bagi mengukuhkan aspek kewangan.

Firma undang-undang kemudiannya perlu mengesahkan jumlah wang penajaan dan mengeluarkan surat kepercayaan kepada MFL yang menyokong bahawa akaun mereka sememangnya mempunyai dana.

Bagaimanapun setelah mengkaji dokumen yang dikemukakan oleh PFA, surat dari peguam penaja berpotensi menyatakan bahawa penaja berpotensi hanya akan mendeposit dana penajaan sebanyak RM8,000,000 jika hanya rayuan Perlis dibenarkan di mana ia jelas tidak memenuhi tuntutan MFL yang mahu dana penaja dimasukkan terlebih dahulu dalam akaun escrow.