Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mendesak Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam untuk meletak jawatan kerana dianggap gagal untuk menjaga kepentingan hak rakan kongsi serta kelemahan ketika menguruskan badan tersebut.

Posa menyatakan beliau mewakili suara beberapa persatuan bola sepak negeri dan kelab sudah lama menyimpan hasrat untuk meminta Kevin meletak jawatan. Posa menjelaskan terbatalnya perjanjian penajaan terbesar bersama Telekom Malaysia (TM) baru-baru ini adalah sebab utama kepada desakan berkenaan.

Posa
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Kami rasa bukan seperti rakan kongsi lagi tetapi dah macam penjenayah kerana ada saja isu dan kesalahan yang tujukan kepada pasukan. Sampai sekarang pun kalau nak cakap pasukan meraih keuntungan sebenarnya tak tepat, malah pasukan terus ‘dirompak’ dengan pelbagai kesalahan denda membabitkan ribuan dan jutaan ringgit.

“Tahun ini mereka mahu menolak geran hampir 50 peratus ketika saingan liga memasuki pertengahan liga. Kenapa baru sekarang umumkan tolak geran? Mengapa tidak awal musim lagi?

“Adakah kerana TM membatalkan niat untuk menaja, jadi kami menjadi mangsa? Seharusnya beliau perlu bertanggungjawab dan perlu meletakkan jawatan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Isnin lalu, MFL mengumumkan tujuh pasukan Liga Malaysia dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Pasukan berkenaan adalah Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super dan Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang (Liga Premier).