Penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City, Kevin Ray Mendoza Hansen mengakui kejayaan muncul juara Piala Malaysia musim lalu bakal memberikan pengajaran cukup berguna buat barisan pemain dalam menghadapi tekanan beraksi di final Piala AFC 2022, Sabtu ini.

Selepas segala ranjau berduri berjaya diharungi untuk ke final, anak buah Bojan Hodak perlu menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri walaupun bukan di Cheras untuk mengukir satu lagi sejarah manis buat skuad warga kota itu.

Selain daripada cuba untuk menjadi pemenang Piala AFC kedua dari Malaysia selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) melakukannya pada musim 2015, KL City turut mengintai peluang layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023/24 sekiranya muncul juara.

Sehubungan dengan itu, Kevin Mendoza yang muncul wira dalam membawa pasukannya ke pentas final susulan aksi tangkas sepanjang perlawanan bertemu Sogdiana Jizzakh tempoh hari meyimpan hajat besar untuk menjulang trofi tersebut.

“Untuk mara ke perlawanan akhir Piala AFC, ia merupakan satu cabaran besar. Menjuarai Piala Malaysia pada tahun lalu adalah satu pencapaian bagi semua orang di kelab ini dan memenangi Piala AFC akan menjadi impian yang lebih besar.”

“Pengalaman yang kami perolehi daripada perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lepas bukanlah sesuatu yang kami boleh berlatih dalam sesi latihan. Jadi pengalaman beraksi di perlawanan tersebut adalah satu pengajaran sangat hebat dalam menangani tekanan yang amat tinggi.”

“Ia menjadi satu pengajaran yang pasti kami boleh ambil untuk menghadapi perlawanan akhir Piala AFC ini.”

“Jelas sekali kami sudah sampai sejauh ini, matlamat kami adalah untuk menjulang Piala AFC dan dapat bersaing dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC musim hadapan,” ujar Kevin menurut laporan laman sesawang rasmi AFC.

Sumber