Sri Pahang memulakan langkah awal bagi mendapatkan pemain pada jendela perpindahan kedua saingan Liga Malaysia musim 2022 dimana mereka berjaya menandatangani pemain tengah skuad kebangsaan Filipina, Kevin Ingreso secara pinjaman selama enam bulan.

Menurut perkongsian Asean Football, Kevin beraksi bersama Samut Prakan City secara pinjaman dari BG Pathum United dalam saingan Thai League 1 musim lalu dan kelab tersebut menduduki tangga ke-15 sekaligus tersingkir ke saingan divisyen kedua musim hadapan.

Kevin Ingreso yang berusia 29 tahun memulakan karier dalam kancah bola sepak Asia Tenggara pada tahun 2015 dimana ketika itu beliau beraksi bersama Ceres Negros. Pada musim 2019, Kevin menyertai Buriram United.

Pemain kacukan Jerman-Filipina itu beraksi bersama Buriram selama dua musim dimana beliau membuat 34 dan menjaringkan tiga gol sekaligus membantu The Tunder Castle menamatkan saingan di tempat kedua secara berturut-turut dalam dua musim.

Pada musim 2021, Kevin menyertai BG Pathum United yang merupakan juara bertahan Thai League pada masa itu. Namun, aksi Kevin bersama BG tidak kekal lama dimana beliau kemudiannya dipinjamkan ke Samut Prakan bagi baki saingan musim 2021/2022.

Kevin juga pernah beraksi dalam temasya Piala Asia 2019 bersama Filipina yang ketika itu dikendalikan oleh bekas pengurus skuad kebangsaan England, Sven-Göran Eriksson. Filipina diletakkan dalam kumpulan C bersama China, Korea Selatan dan Kyrgyzstan namun mereka gagal untuk mara ke peringkat seterusnya setelah tewas ketiga-tiga perlawanan.

Masih belum pasti pemain mana yang akan digugurkan bagi memberi ruang kepada Kevin namun besar kemungkinan pemain skuad kebangsaan Laos, Billy Ketkeophomphone yang bakal digugurkan setelah pemain itu gagal untuk menyerlah bersama Sri Pahang musim ini.

Setakat ini, Sri Pahang telah menandatangani dua pemain iaitu Andres Steven Rodriguez yang dipinjamkan oleh kelab liga divisyen 1 Colombia iaitu Independiente Medellín. Beliau dijangka menggantikan tempat penyerang import dari Jordan, Mahmoud Zatara yang gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan sejak awal musim ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Steven Rodriguez Tak Sabar Sarung Jersi Sri Pahang

Nik Sharif Haseefy Sertai Terengganu Secara Pinjaman Selama 6 Bulan

Sri Pahang Bakal Lengkapkan Proses Naturalisasi Lee Tuck Dan Sergio Aguero