Skuad muda negara sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Mongolia pada aksi sulung Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023 yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia semalam.

Keputusan seri itu sedikit sebanyak telah merencatkan perancangan pengendali pasukan, Hassan Sazali Waras yang mana beliau meletakkan sasaran untuk meraih kemenangan pada aksi bertemu tuan rumah ini.

Malah, laluan yang cukup berliku terpaksa dihadapi oleh pasukan negara untuk layak ke saingan akhir di Uzbekistan nanti kerana selepas ini akan bertemu Sri Lanka (Jumaat) dan gergasi Asia, Korea Selatan pada Ahad.

Bercakap kepada HarimauMalaya, Hassan menjelaskan ketumpulan penyudah punca skuad negara hanya mampu mengutip 1 mata walaupun mempunyai beberapa peluang terhidang.

“Keseluruhannya pasukan berjaya menguasai permainan, cuma barisan hadapan kita tidak menyudahkan beberapa peluang yang diperolehi. Pasukan tuan rumah pula bermain secara bertahan setelah mendahului,” katanya.

Malah, para pemain juga berdepan sedikit kesukaran untuk membiasakan diri dengan keadaan padang tiruan di stadium dan perlu mengawal pernafasan mereka.

“Kita hanya mempunyai masa sehari sahaja untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan padang sebelum perlawanan hari ini.

“Pemain berdepan kesukaran sedikit dalam mengawal pernafasan mereka, tetapi saya berharap mereka akan cepat menyesuaikan diri bagi menghadapi dua lagi perlawanan untuk layak ke pusingan akhir nanti,” jelasnya.

Mongolia
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Dalam perlawanan tersebut, pemain tengah Mongolia, Buyannemekh Ganbat yang mengambil sepakan penalti pada minit ke-24 tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol negara, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.

Pemain negara cuba untuk bangkit dengan melancarkan beberapa percubaan tepat tetapi ia masih belum mampu untuk membolosi gawang Mongolis yang dikawal, Gan-Erdene.

Memasuki minit ke-51, Muhammad Aliff Izwan Yuslan mendapat peluang dalam selepas melepasi kawalan dua pemain pertahanan, namun rembatan dilakukannya sedikit tersasar.

Kesilapan itu ditebus Aliff Izwan berselang tiga minit kemudian apabila beliau menyudahkan peluang terhidang susulan ‘cutback’ dilakukan Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal untuk kembali menyamakan kedudukan.

Ketika jentera serangan skuad negara semakin bersemangat bagi memburu jaringan kemenangan yang diharapkan, Mongolia tetap kental bertahan untuk kedudukan terikat itu kekal hingga tamat permainan.