Ketua UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Shah Alam mahu struktur asal Stadium Shah Alam yang menjadi ikonik serta lambang kemegahan Selangor dipertahankan dan tidak dirobohkan.

Minggu lalu, agensi media melaporkan gelanggang rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.

Stadium baharu berkenaan dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton dan lebih mudah dijaga serta diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300.

Bagaimanapun, Azhari tidak setuju dengan langkah pembinaan baharu stadium tersebut kerana berpendapat masalah kerosakan fasiliti di Stadium Shah Alam boleh berkurangan jika kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara berkala dan mengikut jadual.

“Bangunan ikonik ini perlu terus dipelihara dan dipulihara sejajar dengan kedudukannya yang melambangkan kewujudan Shah Alam secara keseluruhannya.

“Stadium Shah Alam telah dirasmikan sendiri Almarhum Sultan Salahuddin pada 1994 dalam suasana yang gilang gemilang, ia bukti komitmen Almarhum dalam janjinya kepada rakyat Selangor bagi mewujudkan sebuah pusat pentadbiran negeri yang lengkap di Shah Alam selepas KL diserahkan kepada Pusat.

“Isu tidak akan timbul jika, kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara berkala dan mengikut jadual. Seharusnya kerajaan negeri tidak alpa dengan perkara berkenaan. Masalah di Malaysia ini, kita ada budaya terlepas pandang dengan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Tidak perlu pergi jauh atau melantik konsultan mahal-mahal, rujuk sahaja pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil & Stadium Putra Bukit Jalil yang bijak mempelbagaikan aktiviti serta mempromosi kawasan sekitar Kompleks Sukan Bukit Jalil dengan program-program lain yang mendatangkan sumber pendapatan lain seperti penganjuran karnival,” tulisnya di laman facebook rasmi.

 

Malah, pemilik The Red Warriors (TRW) Kelantan FC, Norizam Tukiman turut menawarkan diri untuk menyelesaikan isu membabitkan Stadium Shah Alam selepas gelanggang itu didakwa bakal dirobohkan.

Norizam berkata, gelanggang berkenaan tidak perlu dirobohkan sebaliknya pihak berkaitan boleh memajak kemudahan sukan itu kepada TRW Kelantan FC.

“Dari roboh stadium tu, baiklah pajakkan ke TRW Kelantan FC. Insya-ALLAH saya bersedia #Zamburger,” kata beliau di laman Facebooknya.

Baca artikel lain mengenai isu Stadium Shah Alam melalui pautan dibawah.

TERKINI: Tonton Video Paparan Keadaan Semasa Bumbung Stadium Shah Alam Yang Sangat Daif

Kos Baiki Stadium Shah Alam Cecah RM250 Juta

Keadaan Padang Yang Tidak Bagus Punca Skuad Korea Selatan U23 Batalkan Perlawanan Persahabatan Di Stadium Shah Alam