Ketua jurulatih PSV, Roger Schmidt merasakan dua pemainnya yang cemerlang dalam kempen Euro 2020, Denzel Dumfries dan Donyell Malen tidak akan kembali menyertai pasukan pada persiapan musim panas nanti.

Schmidt jelas berpijak di bumi yang nyata kerana kedua-dua pemain yang menyarung jersi skuad kebangsaan Belanda itu pada ketika ini dikaitkan dengan kelab-kelab ternama Eropah.

Inter Milan, Bayern Munich dan Everton menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Dumfries manakala Malen pula dikhabarkan menjadi sasaran Borussia Dortmund dan Liverpool.

“Saya tidak lagi mengharapkan mereka akan kembali ke De Herdgang [Pusat Latihan PSV],” ujar Schmidt menurut sumber laporan dikeluarkan Goal.

Malen
Donyell Malen ketika cuba membolosi kawalan penjaga gol Republik Czech, Tomas Vaclik.

“Sudah menjadi perkara yang cukup jelas bahawa mereka mahu melangkah pergi meninggalkan negara ini. Saya masih menjangkakan perkara tersebut.”

“Sekiranya tidak ada perpindahan, kami akan melihatnya sekali lagi. Ia akan menjadi cabaran dari segi kecergasan. Keadaan itu berlaku kepada Dumfries dan Malen, begitu juga dengan Cody Gakpo [turut menyertai skuad Belanda ke Euro 2020].”

“Mereka hanya akan menyertai kami kemudian dan ketika ini mereka perlu mengekalkan kecergasan secara individu. Sudah tentu sesuatu yang baik sekiranya mereka akan kekal di sana [PSV], ia akan memberikan  kami lebih banyak pilihan lagi.

Dumfries jelas mencuri tumpuan dalam kempen Euro 2020 meskipun Belanda tumbang pada pusingan 16 di tangan Republik Czech, tetapi beliau masih mampu menjaringkan dua gol dan beraksi cemerlang sebagai pemain bek sayap kanan.

Malen pula menjadikan dirinya sebagai antara pilihan terhangat di Eropah selepas beliau cemerlang meledakkan jaringan sebanyak dua digit dalam tempoh tiga musim berturut-turut.

Baca artikel lain mengenai kempen pasukan Belanda dalam Kejuaraan Euro 2020:

Euro 2020: Dumfries Muncul Wira Belanda Tundukkan Ukraine

Euro 2020: Belanda Kekal Momentum, Mudah ‘Jinakkan’ Macedonia Utara

Euro 2020: Republik Czech ‘Humban’ Belanda Keluar Daripada Persaingan

Sumber