Pengendali pasukan Pahang, Dollah Salleh menegaskan ketiadaan penyerang import pasukan, Dickson Nwakaeme telah menjejaskan peluang pasukan itu untuk meraih tiga mata penuh ketika berdepan Perak dalam saingan Liga Super musim ini.

Dickson tidak dapat diturunkan kerana belum pulih daripada kecederaan yang dialami dan Dollah nyata kecewa kerana pemain itu merupakan harapan utama pasukan untuk menjaringkan gol.

Dollah Salleh
Sumber Gambar: The Star

“Perkara ini perlu dielakkan kerana tidak mencerminkan Pahang sebagai pasukan yang terdiri daripada pemain profesional. Kita sering mengingatkan mereka, tetapi pemain masih tetap mengharapkan Nwakaeme untuk mencipta jaringan.

“Mereka perlu sedar kita bukan bermain seorang atau secara individu. Kita melakukan pelbagai cara untuk mengatasinya termasuk meletakkan Sumareh di posisi penyerang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Tambah Dollah, perubahan posisi Sumareh menampakkan hasil yang positif dan beliau mungkin akan menurunkan pemain naturalisasi itu sebagai penyerang utama sekiranya Dickson masih belum pulih.

Mohamadou Sumareh

“Sumareh juga nampak sudah semakin selesa bermain di posisi penyerang cuma kita belum mendapat gandingan serasi untuknya. Ia berbeza apabila Sumareh berganding dengan Nwakaeme kerana persembahan mereka nampak lebih mantap,” tambahnya.