Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Penolong ketua jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil menyifatkan ketiadaan empat pemain import yang ditamatkan kontrak untuk baki saingan TM Piala Malaysia musim ini tidak akan memberi impak negatif kepada pasukan sebaliknya percaya kepada kudrat pemain muda tempatan lain.

Pemain Lubnan, Samir Ayass, Zoubairou Garba (Indonesia), Ghislain Guessan (France), dan penyerang Ghana, Nana Poku telah ditamatkan kontrak pada pertengahan bulan ini dan hanya tiga import sahaja yang ada ketika ini iaitu Jad Noureddine (Lubnan) manakala Charlie Machell (England), dan Sergio Aguero (Argentina) dari Perak FC II untuk terus membantu pasukan.

Namun, selepas melakukan penilaian dalam tiga aksi persahabatan tempoh hari, Shahril berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan oleh anak buahnya sekaligus membuktikan barisan pemain sedia ada ketika ini mampu memberikan persembahan lebih baik berbanding dua perlawanan awal peringkat kumpulan, bulan lalu.

“Sekarang ini memang tinggal tiga pemain import sahaja dan untuk itu, saya ada melakukan beberapa perubahan dari segi posisi dan taktikal, jadi harapnya apa jua perancangan yang saya lakukan, pemain dapat memberikan komitmen yang terbaik.

“Walaupun kita sudah tiada empat import, tetapi saya lihat daripada sudut positif di mana sekarang baru saya nampak pemain-pemain muda tempatan yang lain menunjukkan komitmen yang sihat untuk bersaing merebut tempat ketika ini.

“Apatah lagi dalam tiga perlawanan persahabatan sebelum ini, mereka melakukan tugas yang cukup baik apabila kita berjaya meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri, dan daripada situ baru saya dapat menilai dengan baik pemain mana yang akan diturunkan dalam aksi sebenar nanti”, jelasnya kepada MFL.

Dalam pada itu, Shahril menegaskan aksi berdepan Terengganu FC pada Sabtu ini cukup penting apabila pasukan masih gagal mencari kemenangan selepas dua perlawanan.

Walaupun skuad kendalian Nafuzi Zain dilihat menjadi pasukan pilihan, beliau enggan barisan pemain terlalu merasa rendah diri kerena setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri untuk melakukan kejutan.

“Lawan Terengganu memang bukan mudah tambahan pula mereka dah konsisten dengan dua kemenangan, tetapi kita masih belum menang lagi, jadi memang mereka akan menjadi pasukan pilihan.

“Tetapi, kita kena ambil kesempatan apabila bermain di laman sendiri Sabtu ini. apatah lagi dengan penonton juga sudah dapat hadir ke stadium untuk pemain-pemain lebih bersemangat memberikan persembahan terbaik nanti.

“Setakat ini kecergasan semua pemain di tahap memuaskan, bahkan Noureddine, Machell dan Aguero juga sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan sebelum ini, dan untuk penjaga gol sekarang kita harapkan Hafizul Hakim sepenuhnya selepas Azri Ghani bersama skuad Bawah-22 tahun ketika ini”, tambahnya.

Empat perlawanan akan berlangsung pada Sabtu ini menyaksikan Kuala Lumpur City FC akan menentang Sarawak United FC, Selangor FC berdepan Kuching City FC manakala Sri Pahang FC pula akan menerima kunjungan Penang FC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Hanya 5,000 Hingga 20,000 Penyokong Dibenarkan Masuk Ke Stadium

Kuala Lumpur City Jalin Hubungan Kerjasama Dengan Kelab Gergasi Iran, Sepahan SC

Kehadiran Penyokong Tingkatkan Semangat Sabah Untuk Raih Keputusan Positif Dalam Piala Malaysia 2021

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group