Dalam era moden ini, bola sepak juga tidak terkecuali dalam menikmati perubahan dengan penerapan sains sukan bagi meningkatkan prestasi pasukan dan pemain. Kehadiran penganalisis prestasi (Performance Analyst) menjadi salah satu elemen yang dapat diimplementasikan bagi membantu tujuan tersebut.

Memetik sumber laman sesawang rasmi Institut Sukan Negara, analisis prestasi  merupakan satu pemerhatian yang sistematik untuk meningkatkan prestasi dan juga melakukan keputusan dalam perlawanan.

Ia menjadi proses menilai prestasi dalam sukan disamping untuk mengembangkan pemahaman tentang tindakan menjurus kepada pembuatan sesuatu keputusan, mengoptimumkan prestasi para pemain serta membantu jurulatih dan pemain dalam usaha meraih hasil di tahap membanggakan.

Bagi aspek kejurulatihan, penganalisis prestasi bertindak dalam menyediakan maklumat kuantitatif dan kualitatif untuk mengenalpasti petunjuk penting dalam aspek prestasi bagi sesebuah sukan itu sendiri.

Peranan Analisis Prestasi dalam konteks bola sepak moden

Individu yang bertindak selaku penganalisis prestasi memainkan peranan khusus buat sesebuah pasukan dan tidak terkecuali juga bagi kelab-kelab di Malaysia dimana mereka bertanggungjawab dalam berkongsikan informasi mengenai analisis latihan, analisis perlawanan, maklumbalas video dan analisis pergerakan pemain.

Sebagai contoh, mereka perlu merekod sesebuah perlawanan dan sesi latihan selain daripada turut menghasilkan analisis mengenai pasukan lawan. Tetapi harus diingat dan jangan keliru kerana mereka bukanlah juruvideo pasukan.

Analisis Prestasi
Hazwan Nizam Fazil menunjukkan data kepada para pemain ketika bersama Perak FC pada 2021

Apabila selesai satu-satu perlawanan, mereka perlu melakukan suntingan video untuk menghasilkan laporan selepas perlawanan [post-match report] dan kegunaan analisis buat jurulatih serta menyiapkan pangkalan data bagi penyediaan statistik.

Lebih ringkas untuk dinyatakan, barisan analisis prestasi ini akan menyediakan maklumbalas dalam bentuk video kepada jurulatih dan pemain secara langsung ketika perlawanan atau latihan.

Segala data atau maklumat mengenai perkembangan prestasi seseorang pemain itu amat penting buat jurulatih dalam menilai aspek yang perlu diperbaiki.

Mengapa Analisis Prestasi amat penting buat sesebuah pasukan bola sepak?

Sejajar dengan era moden dan banyak perubahan dapat disaksikan dalam bola sepak saban tahun, peranan penganalisis prestasi sememangnya amat penting bagi sesebuah pasukan.

Ia menjadi asas kukuh buat jurulatih dan kakitangan pasukan dalam menilai prestasi pemain, mengenalpasti peningkatan dan penurunan prestasi di samping turut memberikan maklumat jelas dalam penilaian kelebihan serta kekurangan pemain.

Hakikat itu perlu diakui dimana dengan mengumpulkan maklumat perlawanan melalui rakaman video, para penganalisis prestasi dapat membantu dalam mengelakkan bias dan memberikan pandangan lebih objektif terhadap segala yang berlaku ketika perlawanan berlangsung.

Data diperolehi juga dapat memberikan gambaran jelas dan sangat berguna buat pemain dan jurulatih mengenai perkembangan samada ia sedang berjalan dengan baik atau sebaliknya.

Dengan adanya peranan yang dimainkan oleh penganalisis prestasi, ia secara langsung dapat memberikan informasi tepat buat seseorang jurulatih untuk sekali gus merangka perancangan khusus dalam meningkatkan prestasi pemain ketika sesi latihan.

Penganalisis Prestasi
Antara penganalisis prestasi dalam saingan Liga Malaysia.

Kesimpulan 

Apa yang dikongsikan di atas adalah hanya sebahagian daripada peranan asas dan kepentingan Analisis Prestasi dalam bola sepak.

Terlalu besar peranan yang dimainkan oleh mereka dalam membantu pasukan bagi mendapatkan hasil terbaik.

Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan mereka telah mengurangkan sedikit bebanan jurulatih dengan mendapatkan data-data penting sebelum dan selepas perlawanan.

Kerjasama erat antara barisan jurulatih, pemain dan penganalisis dapat mengembangkan bakat seseorang pemain dengan potensi penuh.

Selain itu, ia mampu menjadikan jurulatih sebagai individu yang bertambah baik melalui sesi latihan lebih berstruktur dan membuat keputusan dengan lebih tepat.