Pasukan Kedah menutup tirai saingan Liga Super musim 2019 dengan kekecewaan apabila tewas kepada Felda United dengan keputusan 5-1 pada perlawanan yang diadakan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam. Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin menegaskan kesilapan yang dilakukan pemain menyebabkan pasukannya gagal untuk meraih keputusan positif.

Kedah perlu mencatat kemenangan bagi memastikan tempat ketiga dalam carta Liga Super menjadi milik mereka. Namun, perkara sebaliknya berlaku dimana Felda dilihat lebih berbahaya dan mereka berjaya merekodkan kemenangan besar sekaligus kekal salam saingan Liga Super musim hadapan.

Menurut Aidil, kad kuning kedua yang dilayangkan kepada Renan Alves mengeruhkan lagi keadaan sekaligus menyebabkan pasukan bimbingannya tewas.

Aidil Sharin
Sumber Gambar: Kedah FA

“Pujian perlu diberikan kepada Felda di atas kerja keras mereka. Kita boleh lihat mereka mahu kekal dalam saingan Liga Super dengan menampilkan persembahan yang baik. Secara jujurnya pemain saya membuat dua kesilapan mudah, satu memberikan percuma pada awal permainan serta kesilapan yang dilakukan oleh Azmer. Tetapi ini adalah lumrah dalam bola sepak.

“Pemain turut hilang fokus apabila Renan dilayangkan kad kuning kedua. Beraksi dengan 10 pemain menentang Felda bukan satu perkara yang mudah. Namun saya mahu memberi pujian kepada pemain saya. Menamatkan saingan Liga di kedudukan empat pasukan teratas bukan satu tugas yang mudah,” katanya.

Pada masa yang sama, Aidil menggesa pemain agar segera melupakan kekalahan kepada Felda dan mula mengalihkan perhatian kepada persiapan menjelang perlawanan akhir Piala FA 2019 pada 27 Julai ini.

“Kita perlu bangkit. Kami akan cuba untuk mengembalikan motivasi pemain. Ada 6 hari sebelum perlawanan akhir dan satu perkara yang baik kerana kami akan menuju ke perlawanan akhir dengan status underdog,” tambahnya.

Pada perlawanan semalam, Jocine Schad membuka tirai jaringan seawal minit ke-6 menerusi satu sepakan percuma. Faiz Mazlan kemudiannya menggandakan kelebihan dimana beliau menjaringkan gol kedua.

Memasuki separuh masa kedua, Jonathan Bauman merapatkan kedudukan dimana beliau menyempurnakan sepakan penalti. Namun, Felda memperoleh tiga dol dalam jangka masa 5 minit terakhir menerusi Khairul Amri, Jasazrin Jamaluddin dan Kei Ikeda.