Xavi Hernandez yang kini sedikit berada dalam tekanan selepas Barcelona tersingkir ke saingan Liga Europa buat kali kedua berturut-turut disarankan supaya meningkatkan kualiti barisan kejurulatihannya.

Hal ini kerana Xavi dikatakan terlalu mementingkan persahabatan dan kesetiaan dengan membawa masuk abang dan rakan lamanya untuk bersama-sama dalam membimbing The Blaugrana.

Pendapat itu disuarakan oleh editor sebuah portal di Sepanyol, SPORT, J.M Casanovas kerana beliau melihat kelemahan Barcelona pada ketika ini adalah kerana tidak mempunyai barisan kejurulatihan yang berkualiti.

Casanovas turut mendedahkan bahawa selain daripada merekrut abangnya  sendiri, Oscar Hernandez sebagai pembantu, Xavi turut membawa masuk sahabat lamanya, Ivan Torres yang bertindak sebagai jurulatih kecergasan.

Xavi
Soccer Football – LaLiga – Valencia v FC Barcelona – Mestalla, Valencia, Spain – October 29, 2022 FC Barcelona coach Xavi REUTERS/Pablo Morano

Selain itu, kredibiliti seorang lagi penolong jurulatih, Sergio Alegre dan tiga penganalisis pasukan iaitu Sergio Garcia, Toni Lobo dan David Prats turut menjadi pertikaian. Jelas sekali semua nama yang dinyatakan kecuali Torres sudah bersama Xavi ketika beliau membimbing kelab Qatar, Al Sadd SC.

Hanya jurulatih penjaga gol,  Jose De La Fuente sahaja muka lama dalam pasukan dimana beliau mula berkhidmat bersama Barcelona sejak 1 Julai 2012.

Kredit Foto: FC Barcelona

“Tiada siapa yang meragui bahawa dia mengetahui tentang kelab ini sangat baik berbanding orang lain, DNA permainan Barcelona mengalir dalam darahnya dan dia mempunyai cita-cita yang akan membantunya berjaya.”

“Tetapi jelas sekali dia mempunyai pasukan teknikal yang tidak berpengalaman dan tiada ‘resume’ baik. Kesetiaan dan persahabatan sahaja tidak mencukupi,” ujar Casanovas.

“Jurulatih kedua [pembantu] ialah abangnya, Oscar, seorang yang sangat baik tetapi tiada pengaruh di bilik persalinan. Jurulatih ketiga, Sergio Alegre, merupakan pencari bakat buat UE Olot [pasukan tempatan di Catalonia] dan membimbing Rubi dalam liga divisyen tiga sehingga dipecat kerana prestasi teruk.”

“Jurulatih kecergasan, Ivan Torres, adalah sahabat lama Xavi, mempunyai kerjaya terhad sebagai jurulatih kecergasan untuk Real Avila [pasukan divisyen bawahan]. Bagi pasukan penganalisis pula, mereka bekerja di Sant Andreu sebagai pencari bakat pasukan bawahan.”

“Xavi jelas sangat keseorangan apabila dia perlu membuat keputusan ketika dia memerlukan kakitangan teknikal yang mempunyai kewibawaan dan watak untuk memberikan manfaat buat Barcelona,” tambah J.M Casanovas lagi.

Sumber