Selepas 50 hari Liga Super China (CSL) ditangguhkan,  16 kelab yang menjalani latihan pra musim di luar negara sudah pun pulang ke negara itu termasuk skuad kebangsaan China yang pulang dari kem latihan pusat di Dubai, UAE.

Walaupun kes wabak COVID-19 di negara tersebut mencatat penurunan yang mendadak, namun Persatuan Bola Sepak China (CFA) belum memutuskan tarikh baharu perlawanan pertama CSL.

Pada mulanya CSL diramalkan akan berlangsung pada pertengahan bulan April 2020 namun kes terbaru COVID-19 yang melibatkan pemain tengah kelab Shandong Luneng, Marouane Fellaini mencetus kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak China.

Namun begitu, beberapa kelab CSL tetap turun menjalani latihan seperti biasa selepas selesai menjalani proses ‘kuarantin’ selama dua minggu. Kebanyakan kelab memberi fokus kepada latihan fizikal dan meningkatkan tahap kecergasan pemain.

“Kami akan mempunyai jadual yang cukup padat apabila musim baharu bermula nanti. Waktu rehat antara perlawanan mungkin dipendekkan. Kekuatan fizikal memainkan peranan yang penting bagi menghadapi perlawanan yang seterusnya,” kata penyerang Jiangsu Suning, Huang Zichang dipetik dalam Chinadaily

Sementara itu, kelab Shanghai SIPG terpaksa menjalani latihan tanpa khidmat ketua jurulatih, Vitor Pereira dan pembantunya kerana sedang menjalani proses kuarantin selepas pulang dari luar negara.

“Walaupun kami tidak mempunyai pra musim tahun ini, kami perlu memerlukan latihan fizikal yang lebih kerap untuk bersedia menghadapi musim baharu.

“Saya percaya selepas menjalani latihan yang berintensiti tinggi, kami akan lebih bersedia menghadapi CSL, AFC Champions League dan Piala FA. Apabila musim baharu bermula, jadual yang cukup padat sedang menanti kami.

“Hanya mereka yang mempunyai mental yang kuat dan tahap fizikal yang lebih bersedia sahaja mampu menghadapinya,” kata kapten kelab itu, Wang Shenchao.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak asia melalui pautan dibawah.

Komik “One Piece” Bantu Chanathip Songkrasin Kuasai Bahasa Jepun

Thailand Dan Indonesia Sibuk ‘Claim’ Pemain Ipswich Town, ‘Center Back’ 1.94 Meter Berusia 17 Tahun

Nguyen Quang Hai Dikecam Teruk Oleh Netizen Vietnam Kerana ‘Tayang’ Mercedes Berharga RM400,000