Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan pindaan tarikh sepak mula Liga Premier 2021 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, Liga Premier 2021 yang sepatutnya bersambung pada 3 Julai 2021 terpaksa dipinda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini sebaik MFL membuat perangkaan dan penyusunan semula jadual Liga Premier.

Jelas Dato’ Ab Ghani, pindaan itu turut melibatkan perlawanan tertunda di antara Perak FC II bertemu Kelantan FC di Stadium Ipoh, Perak yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 29 Jun 2021 manakala Selangor FC 2 menentang Sarawak United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun 2021.

Katanya lagi, MFL terpaksa meminda tarikh Liga Premier 2021 selepas mendapat saranan daripada pihak kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila mengambil kira situasi semasa kes harian COVID-19 di negara ini yang masih berada di tahap membimbangkan.

“MFL membuat keputusan untuk meminda tarikh saingan Liga Premier yang sebelum ini sepatutnya bersambung semula pada 3 Julai 2021 ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Ini kerana Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Sekretariat Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi telah memberikan pandangan kepada MFL supaya menangguhkan sementara perjalanan Liga Premier sepanjang tempoh PKP 3.0 disebabkan kes harian COVID-19 masih tinggi iaitu melebihi 4,000 kes sehari.

“MFL sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan selain turut memandang serius terhadap isu pandemik COVID-19 di mana perjalanan Liga Malaysia 2021 boleh disambung semula tertakluk kepada pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) daripada masa ke semasa.

“Walaubagaimanapun, program latihan berpusat mengikut Model Gelembung Sukan secara Camp Base Training termasuk perlawanan latihan tertutup dibenarkan selaras SOP yang dikeluarkan oleh MKN,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Liga Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan

Keputusan berhubung pindaan jadual Liga Premier serta beberapa perkembangan terkini mengenai perjalanan Liga Malaysia 2021 juga sudah dimaklumkan kepada semua pasukan dalam sesi taklimat dalam talian bersama CEO kelab-kelab Liga Super dan Liga Premier yang dipengerusikan oleh Dato’ Ab Ghani, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani menyatakan bahawa tiada perubahan bagi jadual Liga Super 2021.

“Keputusan pindaan tarikh ini hanya melibatkan pasukan Liga Premier di mana Liga Super akan kembali bersambung pada 24 Julai 2021.

“Namun seperti saya katakan tadi status Liga Malaysia tertakluk kepada arahan terkini pihak kerajaan,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

J. Partiban Nasihatkan Pemain Muda Berhijrah Ke Pasukan Lain Untuk Dapatkan Lebih Banyak Minit Permainan

Prestasi Cemerlang Bersama Skuad Kebangsaan Tingkatkan Keyakinan Khairul Azhan

JDT Dedahkan Pelan Lantai Dan Reka Bentuk Pusat Latihan Baharu Yang Serba Canggih