Tengahari tadi, Federasi Bola Sepak Vietnam (VPF) telah mengadakan mesyuarat tergempar untuk menentukan nasib saingan V. League apabila dua kes terbaharu wabak COVID-19 telah dicatatkan di bandar Da Nang.

Situasi itu turut menjejaskan perlawanan diantara SHB Da Nang menentang Hai Phong kerana pihak berkuasa bimbang wabak pandemik itu akan merebak disebabkan oleh kedatangan penyokong yang ramai.

Malah, pasukan lawan tidak boleh datang ke Da Nang kerana mereka akan dikuarantin selama 14 hari atas permintaan daripada pegawai kesihatan.

Justeru itu, VPF telah berbincang dengan pihak berkuasa dan mereka membuat keputusan untuk menangguhkan sementara semua baki perlawanan V. League musim ini.

Walaupun SHB Da Nang memilih untuk melangsungkan perlawanan di stadium lain tanpa kehadiran penyokong, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana tidak semua tempat mampu menyediakan kemudahan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Saingan bola sepak Vietnam kini sudah menamatkan perlawanan ke 9 dan mereka dilaporkan telah berjaya memecahkan rekod jumlah kehadiran musim 2020 setakat ini.

Berdasarkan laporan media tempatan, seramai 73,000 orang penonton telah hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan V.League pada perlawanan ke 9 dan jumlah ini telah berjaya memecahkan rekod tertinggi pada perlawanan ke 6 yang dikatakan berjumlah sekitar 66,000 orang!

Walaupun kebanyakan negara hanya membenarkan penonton hadir ke stadium pada skala tertentu, perlawanan bola sepak di Vietnam dilihat tidak mengenakan sebarang sekatan atau syarat untuk masuk ke stadium menyaksikan perlawanan.

Ini akan mengundang penularan wabak COVID-19 yang lebih tinggi sekaligus memaksa VPF membuat keputusan yang paling sukar dengan menangguhkan semua perlawanan buat sementara waktu.

Selain V.League, semua perlawanan liga divisyen 2 Vietnam turut ditangguhkan.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Lagenda Barcelona, Xavi Hernandez Disahkan Positif COVID-19

Pemegang Hak Penyiaran Tegas Dengan Pendirian, Wang Hak Penyiaran Thai League ‘Dipotong’ Sehingga 66%?

Bekas Jurulatih Sarawak, Robert Alberts Diserang Sakit Jantung