Vinicius digelar monyet hanya kerana menari meraikan golnya, dan ianya membawa kepada konotasi serangan perkauman ke atasnya.

Real Madrid telah mengecam komen perkauman yang dibuat mengenai penyerang mereka Vinicius Junior. Bintang Brazil itu berkata dalam satu kenyataan video bahawa dia tidak akan mengubah keraiannya dan menyifatkan ada pengkritik kepanasan melihat “orang Brazil berkulit hitam yang menang di Eropah.”

Semasa muncul sebagai ahli panel dalam rancangan bola sepak Sepanyol pada Jumaat, ejen terkemuka Pedro Bravo berkata Vinicius tidak menghormati lawannya dengan menari nari meraikan golnya.

Vincius digelar monyet

Sambil membandingkan tingkah lakunya tak ubah seperti monyet — yang serta-merta mencetuskan kemarahan di media sosial.

Vinicius, 22, berkata, kritikan Bravo bukanlah yang pertama, yang menjadikannya sasaran dengan kenyataan berbaur perkauman berkenaan dengan keraian golnya.

https://youtu.be/t2jJkdWEbq4

Sambil menyebut ada ramain pemain lain yang mempamerkan aksi keraian gol dengan menari selepas menjaringkan gol.

“Mereka mengatakan bahawa keraian itu mengganggu,” kata Vinicius dalam video yang disiarkan ke media sosial.

“Kegembiraan seorang pemain kulit hitam Brazil yang menang di Eropah menambahkan lagi kesakitan hati mereka.”

“Tetapi keinginan saya untuk menang, senyuman dan percikan di mata saya jauh lebih besar daripada itu. Kamu tidak akan dapat membayangkannya. Saya adalah mangsa komen xenofobia dan perkauman. Tetapi tiada satu pun yang bermula semalam.”

“Minggu lalu mereka mula  ‘menjenayahkan’ tarian saya. Tarian yang bukan milik saya.”

“Tarian tarian ini milik Ronaldinho, Neymar, [Lucas] Paqueta, [Antoine] Griezmann, Joao Felix, Matheus Cunha… tarian tarian ini milik artis funk dan samba Brazil, penyanyi reggaeton, dan kulit hitam Amerika. Itu adalah tarian untuk meraikan kepelbagaian budaya dunia. Terima, hormati. Saya tidak akan berhenti.”

Dalam kenyataan rasmi kelab, Real Madrid mengancam tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang membuat kenyataan berbaur perkauman mengenai pemain mereka.

“Real Madrid CF menolak semua jenis ekspresi perkauman dan xenofobia serta tingkah laku berkaitan dalam bidang bola sepak, sukan dan kehidupan secara umum, seperti komen yang dikesali dan malang yang dibuat dalam beberapa jam kebelakangan ini terhadap pemain kami Vinicius Junior,” kata Real Madrid dalam satu kenyataan.

“Real Madrid mahu menunjukkan semua kasih sayang dan sokongan kami kepada Vinicius Junior, pemain yang memahami bola sepak sebagai sikap terhadap kehidupan berdasarkan kegembiraan, rasa hormat dan semangat kesukanan.”

“Bola sepak, yang merupakan sukan paling global yang wujud, mesti menjadi contoh nilai dan kewujudan bersama. Kelab telah mengarahkan perkhidmatan undang-undangnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang menggunakan ungkapan perkauman terhadap pemain kami.”

Bravo, yang merupakan presiden Persatuan Ejen Sepanyol, kemudian memuat naik kenyataan di Twitter untuk memberikan penjelasan, mengatakan dia menggunakan ungkapan “monyet” untuk mengatakan Vinicius “melakukan perkara bodoh” dan bukannya berniat mencaci secara rasis.

“Saya ingin menjelaskan bahawa ungkapan ‘monyet’ yang saya telah salah gunakan untuk melabel tarian sambutan gol Vinicius dilakukan secara metafora,” katanya.

“Memandangkan saya tidak berniat menyinggung perasaan sesiapa, saya memohon maaf dengan ikhlas. Saya minta maaf!”

Neymar dan Pele pertahankan tarian Vini

Beberapa tokoh, antaranya Neymar dan Pele serta persekutuan bola sepak Brazil, yang tampil membela Vinicius.

“Bola sepak adalah kegembiraan. Ia menari. Ia benar-benar pesta. Walaupun hakikat perkauman masih wujud, kami tidak akan membenarkan ia menghalang kami daripada terus tersenyum,” tulis Pele.

“Dan kami akan terus memerangi perkauman dengan cara ini, memperjuangkan hak untuk bahagia.”

Persekutuan Brazil juga menggunakan hashtag #DanceViniJr. dan menulis: “Akan ada tarian, gelecekan, tetapi di atas segalanya [adalah] rasa hormat. Pada malam Khamis (15), atlet kami @vinijr menjadi sasaran kenyataan perkauman. CBF berdiri teguh dalam solidariti dan menyokong: #BailaViniJr.”

Sementara itu, penyerang Paris Saint-Germain, Neymar, telah memberikan kata kata semangat kepada rakan sepasukan kebangsaannya, Vinicius untuk terus menari selepas menjaringkan gol.

Neymar, yang marah selepas dia dilayangkan kad merah untuk meraikan golnya dalam kemenangan 3-1 PSG di Maccabi Haifa dalam Liga Juara-Juara, menytakan menerusi tweet-nya: “DANCE VINI Jr.”

“Menggelecek, menari dan jadi diri kamu sendiri. Bergembiralah dengan cara kamu, teruskan ‘my boy’, gol seterusnya nanti kita menari lagi.”

Vinicius membalas komen Neymar di Twitter dengan perkataan “Sentiasa” dan memuat naik gambar mereka sedang menari ketika bermain untuk Brazil.

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata beliau tidak memahami kontroversi yang menyelubungi sambutan gol Vinicius.

“Dia orang Brazil, dia menari dengan sangat baik, dan saya rasa ianya tidak mengganggu sesiapa pun,” kata Ancelotti.

“Dia tidak perlu mengubah apa-apa mengenai sikapnya kerana dia sangat menghormati lawannya dan pengadil.”

“Dia seorang pemain istimewa kerana cara dia bermain, walaupun ada kalanya, kerana cara permainannya, lawannya di atas padang mungkin marah.”