Para pemain bola sepak tempatan kini boleh menarik nafas lega apabila Menteri Pertahanan yang juga Menteri Kanan (kluster keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memberi kelulusan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) meneruskan saingan Liga Malaysia musim ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini selepas ditanyakan oleh seorang wartawan dari Bernama mengenai kebenaran melangsungkan perlawanan Liga Malaysia selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, Liga Malaysia boleh diteruskan jika jadual perlawanan ditetapkan pada bulan Oktober dengan syarat mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang bertujuan untuk membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Jika ada permohonan secara rasmi oleh pihak FAM atau Kementerian Belia dan Sukan, kita akan tengok perkara ini.

“Seperti mana saya sebutkan (sebelum ini), walaupun PKP ditamatkan sekali pun, SOP masih lagi kita akan teruskan.

“Misalnya dari segi perhimpunan beramai-ramai dan sukan berkumpulan mungkin masih tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kenyataan daripada beliau itu memberi bayangan saingan Liga Malaysia musim ini mungkin diteruskan tanpa penonton dan ia mampu memberi kesan yang besar kepada industri bola sepak negara jika dibatalkan.

Namun, ia tertakluk kepada saranan dan panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan keadaan semasa serta tahap ancaman wabak penyakit berjangkit itu.

“Saya difahamkan Liga M akan bersambung semula pada bulan Jun, kalau bulan Jun saya kira terlalu rapat walaupun PKP sudah ditamatkan. Mungkin tempoh satu hingga dua bulan selepas PKP ditamatkan, ia terlalu awal untuk kita benarkan.

“Tetapi kalau PKP tamat pada Jun, pertandingan bersambung bulan Oktober atau November dengan SOP seperti bermain tanpa penonton dan sebagainya mungkin kita boleh lihat dan pertimbangkan perkara tersebut,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Liga Turkmenistan Kembali Bersambung Minggu Ini Dengan Kehadiran Penonton

Thai League 3 & 4 Dimansuhkan Mulai Musim 2021, Guna Liga 6 Zon Untuk Naik Ke Thai League 2

Mungkin Ini 4 Pilihan Perjalanan Liga Malaysia Musim 2020, Piala FA Dapat Lebih Prioriti Berbanding Piala Malaysia.