Peminat bola sepak di Korea Selatan kini boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Korea Selatan semalam telah mengumumkan kebenaran untuk melangsungkan perlawanan besbol dan bola sepak dengan kehadiran penonton di stadium.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa dan penurunan kes wabak pandemik COVID-19 serta nasihat daripada pegawai kesihatan.

Justeru itu, pengendali K-League akan membenarkan setiap penyokong hadir ke stadium mulai 10 Julai 2020 dengan pematuhan penjarakan sosial dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Namun, hanya 40 peratus daripada jumlah kapasiti stadium dibenarkan masuk dan tiket perlawanan hanya boleh dibeli secara dalam talian (online) tanpa sebarang sentuhan.

“Kami akan mengumumkan jumlah sebenar penyokong yang dibenarkan masuk setelah mendapat maklumat lebih lanjut daripada pihak kerajaan.

“Kita akan mengambil langkah-langkah keselamatan menyeluruh sambil melihat situasi semasa sebelum membenarkan penonton masuk,” kata Pengerusi K-League, Lee Jong-kwon.

Sebelum ini, beberapa kelab K-League memeriahkan stadium dengan memasang kain yang tertera logo penaja dan kepingan kadbod yang dicetak dengan gambar penyokong.

Malah, kelab FC Seoul terlibat dalam kontroversi apabila mereka bertindak meletakkan patung tiruan seks di kawasan tempat duduk untuk menunjukkan seperti ‘orang sebenar’.

Selain Korea, Jepun turut mengambil langkah yang sama apabila membenarkan hanya 5000 penyokong bola sepak masuk ke dalam stadium untuk perlawanan J. League 1 yang bakal bersambung pada 4 Julai ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Kerajaan Jepun Benarkan 5000 Penyokong Masuk Stadium Menonton Perlawanan Bola Sepak

Hanoi FC Sanggup Bayar Gaji Doan Van Hau RM2.2 Juta Setahun Untuk Kekal Berada Di Belanda

Jorge Luis Pinto Rasmi Dilantik Sebagai Pengendali Baharu UAE