Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Universiti Malaya (UM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada hari jumaat lepas bagi memulakan kerjasama strategik yang tertumpu kepada aspek Prestasi Tinggi di dalam bola sepak negara.

UM yang terkenal dengan fasiliti-fasiliti sukan yang dilengkapi dengan peralatan prestasi tinggi yang canggih dilihat dapat memperbaiki serta meningkatkan lagi kualiti prestasi tinggi skuad bola sepak kebangsaan.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram, kolaborasi bersama UM dilihat sebagai jalinan kerjasama yang berharga buat FAM lebih-lebih lagi menjelang kempen skuad Harimau Malaya di Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula Disember ini.

Sumber Gambar: FAM

“Aspek sains sukan di dalam sukan bola sepak adalah sangat penting buat kami di FAM bagi memastikan skuad bola sepak kebangsaan dapat beraksi di tahap yang maksimum.

“Menerusi kerjasama bersama UM, sudah tentu pemain-pemain kebangsaan dapat meraih faedah daripada peralatan-peralatan canggih yang tersedia di sini.

“Saya yakin dengan kolaborasi ini, trend serta arus terkini bola sepak moden dapat diterapkan di dalam skuad bola sepak kebangsaan berdasarkan kajian yang akan dilakukan di UM ini,” kata Dato S. Sivasundaram.

Tambah beliau lagi, kerjasama bersama UM juga dapat membuka peluang kepada pelajar-pelajar untuk meneroka serta mengkaji mengenai sains Prestasi Tinggi di dalam arena sukan khususnya sukan bola sepak.

“Jalinan kerjasama ini juga dilihat dapat menarik minat pelajar-pelajar untuk menceburi bidang sains sukan dan prestasi tinggi.

“Selain itu, ia akan memberikan FAM peluang untuk mendidik kelab-kelab bola sepak di dalam negara serta masyarakat mengenai kepentingan prestasi tinggi sebagai salah satu aspek yang perlu dipandang serius,” ujar beliau lagi.

Majlis menandatangani MOU bersama UM yang telah diadakan di UM Arena, Kuala Lumpur itu turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Perubatan UM, Profesor Nazirah Hasnan, Dekan Fakulti Sukan dan Sains Eksesais UM, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Mokhtar, Timbalan Dekan Ijazah Dasar dan Hal Ehwal Pelajar UM, Dr Eliza Hafiz, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman, Ketua Unit Belia FAM, Mohamed Razip Ismail serta Ketua Unit Prestasi Tinggi FAM, Reuben Jude Balraj.