Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Kampus Seremban semalam telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan Negeri Sembilan Football Association (PBNS) dan Negeri Sembilan Football Club (NSFC).

Menurut kenyataan rasmi, antara intipati memorandum persefahaman yang dijalankan adalah persetujuan kedua-dua belah pihak untuk penyediaan dan penerimaan pelajar praktikal diploma dan ijazah dari UiTM, memberi perkhidmatan rundingan dan khidmat pakar, menerima staf dan pelajar bagi tujuan penyelidikan dan bersetuju bersama untuk mengadakan simposium, konferensi, kursus pendek dan mesyuarat berkaitan isu-isu berkaitan sukan, akademik dan penyelidikan.

Memorandum persefahaman ini bakal memberi impak berkesan dalam pembangunan pengajian tinggi serta dalam bidang sukan khusus buat warga sukan di UiTM.

“Kerjasama ini juga turut melibatkan perkongsian maklumat, kepakaran dan kaedah penyelesaian dalam sukan bolasepak bagi tujuan memudahkan proses kerja dan penyelidikan melalui aktiviti rundingan kerjasama dan konsultansi.

“MoU yang dimeterai dijangka dapat melibatkan perkongsian infostruktur dan infrastruktur secara dua hala yang seimbang di antara PBNS dan NSFC dengan UiTM Cawangan Negeri Sembilan,” kata Professor Dr Yamin Yassin, Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan.

Gambar: NSFC

Pengerusi NSFC, YTM Tunku Syed Razman pula menekankan bahawa PBNS kini lebih terarah kepada pembangunan kepengadilan, kejurulatihan, program pembangunan bakat muda dan pelbagai program pembangunan bola sepak di Negeri Sembilan manakala NSFC lebih menjurus ke arah pembentukan pasukan elit profesional yang akan bertanding di Liga Malaysia.

“Di bawah PBNS, liga-liga tempatan sudah mula diperkasakan bagi mencungkil bakat-bakat baru selain telah berjaya melahirkan ramai jurulatih dan pengadil baharu tahun ini dengan penganjuran pelbagai kategori kursus kejurulatihan dan kepengadilan. Malah, futsal dan bola sepak pantai juga tidak terkecuali.

“Demi memastikan matlamat ini dicapai, antara permulaan yang harus dilakukan adalah menjalinkan kerjasama strategik bersama pihak UiTM dalam aspek perkongsian idea atau kepakaran untuk sama-sama memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Kemudahan fasiliti sukan di UiTM juga dapat membantu meningkatkan lagi prestasi seseorang pemain untuk terus berusaha mencapai tahap yang terbaik”, ujarnya.

Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) UiTM Seremban mempunyai kemudahan seperti Gymnasium, Makmal Kecederaan dan Makmal Motor Learning yang dijangka memberi manfaat kepada warga NSFC, NSFA dan masyarakat setempat.