Semalam peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan isu larangan bawa masuk bendera Malaysia ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) ketika perlawanan liga domestik membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Isu tersebut menjadi tular di media sosial apabila salah seorang penyokong Harimau Selatan mendakwa telah ditegur oleh Marshall yang bertugas kerana mengibarkan bendera Malaysia ketika nyanyian lagu Negaraku sebelum sepak mula perlawanan.

Bagaimanapun, pihak JDT ketika dihubungi menafikan perkara tersebut dan menjelaskan kenyataan daripada Marshall JDT itu tidak tepat dan tiada arahan yang dikeluarkan untuk melarang penyokong membawa masuk Jalur Gemilang sewaktu perlawanan berlangsung.

Isu itu lebih kepada salah faham dan masalah komunikasi individu yang bertugas. Kenyataan daripada laman facebook Marshall JDT juga tidak mewakili pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bukan medium komunikasi rasmi kelab tersebut.

Buktinya terdapat penyokong mengibarkan bendera Malaysia ketika perlawanan diantara JDT bertemu Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Ogos lalu.

Penyokong JDT
Sumber Gambar: Foto Arkib Harimau Selatan oleh Hazri Sharani

Selain itu, tiada larangan untuk membawa masuk bendera pasukan lain jika mereka beraksi di Stadium Sultan Ibrahim menentang JDT dalam perlawanan Liga Malaysia.

Sebelum ini, Johor Southern Tigers sentiasa mengingatkan para penyokong Harimau Selatan mengenai larangan membawa masuk beberapa barang berbahaya ke Stadium Sultan Ibrahim untuk tujuan keselamatan orang awam.

Bendera Malaysia tidak termasuk dalam larangan tersebut. Antara barang yang dilarang membawa masuk ialah rokok, payung, helmet, pemetik api, power bank, dron, botol, minuman alkohol, alat tajam seperti pisau dan lampu laser.

Sebagai langkah keselamatan, mereka akan melakukan pemeriksaan tubuh badan dan beg di setiap pintu masuk dan juga sekitar perkarangan stadium. Jika anda didapati membawa salah satu daripada barang terlarang, ia akan dirampas dengan segera.