Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Satianathan menganggap kenyataan dikeluarkan Naib Presiden PJBM, Dr. Zulakbal Abd.Karim terhadap Malaysian Football League (MFL) sebagai pandangan peribadi yang tidak mewakili persatuan terbabit.

Jelas Satianathan, beliau berasa kecewa dan terkejut dengan kenyataan secara rambang tanpa penelitian oleh Zulakbal tanpa membuat perbandingan terhadap perubahan yang sudah dilakukan MFL.

Justeru beliau mahu mendapat penjelasan sepenuhnya daripada Zulakbal dalam satu mesyuarat jawatankuasa tertinggi, tidak lama lagi.

B.Sathianathan
Sumber Gambar: Stadium Astro

Baginya, apa diperkatakan Zulakbal langsung tidak tepat kerana melihat sudah banyak peningkatan dipamerkan oleh MFL sejak menguruskan Liga Malaysia malah beliau melabel liga ini antara terbaik di Asia Tenggara.

“Apa sahaja diperkatakan oleh beliau, itu bukan pandangan daripada PJBM dan saya selaku presiden menolak sepenuh-penuhnya kenyataan beliau kepada media, baru-baru ini.

“Sebagai seorang Naib Presiden, beliau sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian dan saya mahu dengar daripada beliau sendiri sama ada benar beliau berkata sedemikian kepada media.

“Jika benar sekalipun, beliau sepatutnya bertimbang rasa dan fikirkan sama terhadap rakan-rakan jurulatih yang sekarang ini bertugas dalam Liga Malaysia kerana pandangannya itu boleh menjejaskan periuk nasi kami, ” katanya.

zulakbal abd Karim
Sumber Gambar: BH

Sebelum ini, Zulakbal berkata dalam dalam satu kenyataan memberitahu kredibiliti MFL diragui walaupun sudah empat tahun mentadbir liga tempatan selain menyifatkan tiada apa-apa perubahan sewaktu diuruskan FAM.

Isu kelewatan pembahagian geran tahunan menjadi asas di sebalik pandangan Zulakbal terhadap MFL.

Dalam masa sama, Satianathan yang telah lebih 10 tahun bergelar ketua jurulatih di Liga Malaysia mahu semua pihak terus menyokong usaha MFL dalam memperkasakan mutu Liga Malaysia.

Satu perbezaan ketara dirasai Satianathan ialah beliau mendapati cara pengurusan liga kini lebih profesional serta semakin menarik minat ramai pemain luar negara untuk datang ke sini.

“Mana-mana sahaja liga di dunia sudah tentu ada ruang untuk sebarang penambaikan dan di Malaysia, saya dapati ada peningkatan dalam aspek pengurusan sesetengah pasukan serta venue pertandingan seperti padang.

“Tidak keterlaluan saya katakan Liga Malaysia ini antara terbaik di Asia Tenggara dan kehadiran JDT di Liga Juara-juara Asia (ACL) buktikan liga kita kian kompetitif malah kedudukan ranking mereka lagi tinggi daripada pasukan dari Liga Thailand.

“Saya didatangi ramai ejen pemain dari luar negara jika dibandingkan dengan dahulu sekaligus membuktikan liga kita ini semakin dipandang tinggi oleh pihak di luar sana, ” katanya.