Salah sebuah syarikat penerbangan Vietnam iaitu Vietnam Airlines memberi tiket kelas bisnes kepada bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu, Park Hang-seo sebagai salah satu cara mengenang jasa atas sumbangan jurulatih itu kepada bola sepak di Vietnam.

Hang-seo baru-baru ini berpisah dengan pasukan Vietnam setelah lima tahun menguruskan skuas senior dan B-23 Tahun dimana beliau memutuskan untuk tidak menandatangani kontrak lanjutan yang diberikan oleh Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

Setelah membantu skuad Golden Star Warriors memenangi kejuaraan di peringkat antarabangsa, Vietnam Airlines memberi tiket kelas bisnes kepada jurulatih itu dan juga isterinya, Choe Sang-anh sebagai bentuk membalas segala jasa yang telah diberikan.

Setelah meninggalkan Vietnam, Hang-seo mengakui beliau banyak menerima tawaran dari beberapa pasukan yang mahu mendapatkan khidmatnya dan akan memutuskan dalam masa terdekat ke mana destinasi beliau selepas ini.

“Ejen saya sudah mendapat beberapa tawaran dan saya sedang memikirkannya. Saya harus berbincang dengan keluarga terlebih dahulu untuk menentukan apa yang saya akan lakukan dan kemana destinasi saya.

Apa yang pasti ialah saya akan kekal dalam arena bola sepak kerana itu perkara yang saya kuasai,” kata Park Hang-seo.

Hang-seo turut menegaskan beliau menolak sekiranya ada tawaran dari Korea Selatan ataupun Vietnam kerana sudah pernah menjadi jurulatih di dua negara tersebut.

“Saya sudah mengatakan saya tidak akan menjadi jurulatih di Korea Selatan dan Vietnam. Di Vietnam, saya sudah menjadi jurulatih skuad kebangsaan dan tidak berniat untuk mengambil posisi ini di tempat lain.

“Di Korea, ramai junior dan rakan saya yang jauh lebih baik dari saya sehingga saya merasakan tiada yang istimewa untuk dilakukan di kampung halaman,” tambahnya.

Sejak membimbing skuad senior dan B-23 Tahun Vietnam pada 2017, Hang-seo telah mencipta beberapa kejayaan seperti memenangi Piala AFF pada edisi 2018 dengan menewaskan Malaysia dan juga pingat emas Sukan SEA pada 2019 dan 2021.

Selain itu, Hang-seo juga pernah membawa skuad B-23 Tahun menduduki tempat kedua dalam saingan AFC B-23 Tahun pada 2018 dimana mereka tewas kepada Uzbekistan.