Stade de Reims yang dibimbing oleh Will Still bukanlah pasukan yang begitu dikenali pada era bola sepak moden ini meskipun pernah menjuarai saingan Ligue 1 sebanyak enam kali dalam sejarah kelab tersebut.

Hal ini kerana kesemua kejuaraan dimenangi kelab yang berada di wilayah Timur Laut Perancis itu adalah sekitar tahun 1948 hingga 1962. Satu tempoh yang cukup menggambarkan reputasi kelab tersebut pada ketika ini.

Namun sejak Oktober 2022, nama Stade de Reims jelas mencuri tumpuan berikutan langkah Presiden kelab itu, Jean-Pierre Caillot melantik Still sebagai pengurus interim selepas memecat pengendali dari Sepanyol, Oscar Garcia.

Keputusan drastik itu terpaksa diambil apabila Reims hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, empat keputusan seri dan empat kekalahan untuk berada di kelompok bawahan liga.

Susulan dengan itu, pelantikan Still bukan sahaja mendapat perhatian kerana bergelar pengurus muda dalam membimbing pasukan saingan liga utama di Perancis, malah ada sebab menarik lain untuk orang ramai menjadikan susuk tubuh berusia 30 tahun tersebut sebagai tumpuan.

Kredit Foto: Stade de Reims

Cemerlang beri nafas baharu buat Stade de Reims 

Ketika Garcia masih belum dipecat tetapi terpaksa pulang ke Barcelona atas alasan peribadi, Still selaku penolong pengurus telah diberikan tugasan untuk mengendalikan pasukan yang akan melayani kunjungan Paris Saint-Germain (PSG) pada 8 Oktober.

Peluang itu digunakan sepenuhnya Still untuk membantu kelab tersebut mengikat kelab gergasi itu dan kemudiannya beliau telah dilantik untuk menjadi pengurus interim.

Dua kemenangan dan tiga keputusan seri pada lima perlawanan awal dibawah kendaliannya, Stade de Reims mengambil keputusan untuk menjadikan Will Still sebagai pengurus tetap pasukan.

Susulan dengan itu, Still langsung tidak menoleh ke belakang untuk membuktikan kemampuan luar biasa dimilikinya pada ketika ini dengan meneruskan rentak cemerlang.

Ia dibuktikan apabila Reims menambah empat lagi kemenangan dan empat keputusan seri sekali gus menjadikan 14 perlawanan tanpa kalah Reims dalam kempen liga sepanjang dibimbing Still. Salah satunya merupakan kejayaan kali kedua mengikat PSG.

Rentak cemerlang itu meletakkan Reims kini ditangga ke-11 dengan tujuh kemenangan, 12 seri dan empat kekalahan untuk mengumpul 33 mata, hanya ketinggalan dua mata dibelakang Olympique Lyon (sehingga artikel ini ditulis).

Hanya satu kekalahan sahaja yang dialami Still dan anak buahnya adalah pada pusingan ketiga Coupe de France kepada Toulouse dimana Reims menang dua perlawanan pusingan awal ke atas FC Loon-Plage [7-0] dan Les Herbiers VF [3-0].

Fakta menarik berkenaan Stade de Reims bukan sahaja memiliki pengurus muda malah, mereka juga mempunyai skuad dengan purata umur termuda apabila hanya ketua pasukan, Yunis Abdelhamid (35 tahun) berusia melebihi pengurus mereka.

Ada harga perlu dibayar oleh Stade de Reims

Melantik Will Still sebagai pengurus pasukan sebenarnya mengakibatkan Reims terpaksa membayar denda sebanyak €25,000 (RM120,000) pada setiap perlawanan kepada penganjur saingan Ligue 1.

Hal ini kerana kerana Still masih belum memiliki lesen kejurulatihan UEFA Pro yang merupakan syarat wajib bagi seorang pengurus itu untuk membimbing pasukan.

Namun, keadaan itu langsung tidak menganggu pengurusan tertinggi Stade de Reims. Sebaliknya seperti dilaporkan SportBible, Reims bersedia untuk membayar denda tersebut selagi Still mampu menghadirkan keputusan yang baik buat pasukan.

Still yang difahamkan sudah memulakan usaha untuk mendapatkan lesen kejurulatihan itu mendedahkan sebab beliau masih belum memiliki kelayakan tersebut.

“Saya baru berusia 30 tahun dan tidak mungkin dapat menyertai kursus kejurulatihan itu dengan lebih awal. Kebiasaannya ia dikhaskan terlebih dahulu kepada bekas pemain profesional dan bekas jurulatih.”

“Jadi, saya baru sahaja melakukannya kerana itu jalan biasa yang perlu untuk ikuti,” ujar Still menurut laporan talkSPORT.

Pengurus yang ‘gilakan’ permainan Football Manager

Bergelar penolong jurulatih skuad bawah 14 tahun Preston North End pada usia 19 tahun, Still merupakan seorang yang begitu obses dengan permainan video simulasi Football Manager.

Beliau mendedahkan dirinya membesar dengan permainan tersebut dan bermain tanpa henti bersama abangnya, Edward (32 tahun) yang kini merupakan pengurus pasukan dari Belgium, K.A.S Eupen. Lebih menarik, adik bongsunya yang kini berusia 26 tahun, Nicolas merupakan pembantu kepada Edward.

Menurut Will Still, ibu bapa mereka tidak membenarkan untuk bermain permainan konsol PlayStation, oleh itu mereka memilih dengan ‘melayani’ Football Manager di komputer keluarga.

Malah, beliau turut mengakui menghabiskan masa sehingga jam tiga pagi dengan bermain permainan yang sememangnya membuatkan ramai terleka jika tidak dikawal dengan baik.

“Saya tidak pernah menganggap bahawa Football Manager mempunyai pengaruh pada kerjaya sebenar saya tetapi apabila difikirkan sekarang, ia memang benar-benar berlaku.”

“Football Manager jelas merupakan sebahagian daripada rutin harian saya tetapi apabila saya memulakan karier kejurulatihan di Preston North End yang merupakan sebahagian daripada ijazah kolej kami, dan semua itu menjadi sejarah.”