Setelah sekian lama dianggap sebagai pasukan tangga pertengahan dan ada masanya hanya sebagai pelengkap saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kini secara tiba-tiba Newcastle United menjadi tumpuan dunia.

Seperti dilaporkan awal pagi tadi, jodoh selama 14 tahun The Magpies bersama jutawan Britain, Mike Ashley sudah pun berakhir dan kini bermulanya era baharu serba mewah dibawah pegangan Public Investment Fund dari Arab Saudi serta PCP Capital Partners dan RB Sports & Media.

Pengambilalihan bersejarah tersebut juga telah menjadikan Newcastle sebagai kelab terkaya dalam kancah bola sepak dunia pada ketika ini.

Susulan perkembangan terkini tersebut, para penyokong bola sepak di seluruh dunia secara tidak langsung akan mula memberikan tumpuan kepada kelab Timur Laut England ini berikutan dana besar yang bakal diterima.

Keadaan itu sudah pasti turut akan dirasakan di tanah air dan berkemungkinan jumlah penyokong Newcastle United di Malaysia bakal bertambah sejak pengumuman penting itu.

Bukan untuk memerli mana-mana pihak tetapi ia merupakan hakikat sebenar sekiranya sesebuah kelab dilihat memiliki masa depan cerah berbekalkan suntikan dana bagi memantapkan pasukan mereka, pasti akan ada peminat yang mula ‘jatuh hati’ dengan kelab tersebut.

Sehubungan dengan itu, kita akan dapat melihat kewujudan halaman-halaman kelab peminat yang tumbuh bak cendawan selepas hujan bagi menyatakan sokongan terhadap Newcastle United.

Oleh itu, harus diingatkan bahawa hanya Toon Army Malaysia (TAM) merupakan kelab peminat Newcastle United yang rasmi serta turut mendapat pengiktirafan daripada Newcastle United FC Supporters.

Malah, TAM juga berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan nama Kelab Penyokong Newcastle United Malaysia.

Misi utama merintis penubuhan  TAM adalah bertujuan memberikan ruang buat para penyokong setia Newcastle untuk berkongsikan keterujaan mereka dalam menyokong jatuh bangun kelab tersebut.

Selain itu, banyak pertemuan santai menonton perlawanan melibatkan pasukan dan aktiviti menarik yang dijalankan bagi mengeratkan lagi hubungan para penyokong Newcastle di Malaysia.

Selain itu, TAM turut pernah mengadakan lawatan ke stadium keramat kelab tersebut, St James’ Park bagi membuat ‘stadium tour’ dan menyaksikan perlawanan di sana.

Apa yang paling penting untuk diperkatakan, perjuangan dan semangat individu di belakang TAM dalam menyokong Newcastle tidak pernah berganjak walau seinci meskipun dua kali pasukan kesayangan mereka tersingkir ke saingan EFL Championship.

Jadi, ia merupakan peluang keemasan buat penyokong Newcastle United yang masih belum menyertai TAM dan merasai pengalaman lebih mengujakan ketika menyokong The Magpies.