Sebagai persediaan untuk menghadapi saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, ketua jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Akira Nishino baru-baru ini telah memanggil seramai 33 pemain bagi menyertai kem latihan pusat.

Beberapa pemain bintang seperti Chanathip Songkrasin, Theerathon Bunmathan, Thitipan Puangchan dan Kawin Thamsatchanan menepati ramalan apabila nama mereka disenaraikan. Akan tetapi, penyenaraian seorang pemain muda telah menarik perhatian ramai pihak. Pemain muda tersebut adalah Jaroensak Wonggorn.

Jaroensak Wonggorn
Jaroensak Wonggorn

Jaroensak merupakan penyerang yang beraksi bersama Samut Prakan City FC dalam saingan Thai League 1 bagi musim 2019. Bekas pemain Pattaya United dan Air Force Sentral ini mencuri perhatian ramai setelah beliau menampilkan aksi yang memberangsangkan bersama skuad B-19, B-21 dan B-23 tahun Thailand.

Jaroensak membantu skuad B-23 tahun Thailand yang dibimbing oleh Alexandre Gama ketika itu menduduki tempat kedua dalam kejohanan Piala AFF B-23 Tahun pada Februari lalu. Skuad Gajah Perang terpaksa akur apabila tewas kepada Indonesia di pentas akhir dengan keputusan 2-1.

Jaroensak Wonggorn
Jaroensak Wonggorn
Sumber Gambar: Jawa Pos

Sejak itu, beberapa kelab dari dari rantau Eropah khususnya Portugal berminat untuk menandatangani khidmat pemain berusia 22 tahun itu. Akan tetapi, perbindangan antara pihak kelab yang berminat dan juga pemain tersebut gagal untuk mencapai kesepakatan menyebabkan Jaroensak kekal beraksi dalam saingan liga domestik.

Keputusan Nishino untuk menyenaraikan Jaroensak berbanding penyerang senior yang sudah lama beraksi bersama pasukan seperti Adisak Kraisorn dan Teerasil Dangda menimbulkan persoalan. Namun, pada masa yang sama ramai pihak berpendapat sudah tiba masa penyerang muda diberikan peluang untuk menerajui jentera serangan juara lima kali Piala AFF Suzuki itu.

Selain Jaroensak, dua lagi pemain yang dicanang sebagai penggempur utama Thailand pada masa akan datang ialah Supachai Jaided dan Suphanat Muenta.